[VIDEO] Ops Kutip: 238 warga asing ditahan di Kota Bharu

A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan menahan seramai 238 warga asing yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sempena Ops Kutip di sini pada Jumaat.

Antara kesalahan berkenaan ialah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, warga asing yang ditahan termasuk dari Pakistan, India dan Thailand, manakala warga Myanmar paling ramai membabitkan 115 lelaki, tiga wanita dan empat kanak-kanak.

No Image Caption

"Kita turut menahan 13 warga Nepal, 14 warga Indonesia dan 76 warga Bangladesh," katanya melalui kenyataan selepas mengetuai operasi berkenaan di sekitar bandar Kota Bharu pada Jumaat.

Beliau memberitahu, Ops Kutip dilaksanakan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan (JPN) dan Polis Diraja Malaysia.

Jelas beliau, operasi jam 10 pagi itu dilakukan hasil risikan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia negeri Kelantan.

"Sebelum itu kami melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap warga asing terbabit di sekitar bandar Kota Bharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jabatan itu menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI," katanya.