Kos tinggi faktor warga asing tidak pulang beraya

Babar (dua dari kanan) keluar bersiar-siar bersama rakan-rakannya pada hari raya pertama.
Babar (dua dari kanan) keluar bersiar-siar bersama rakan-rakannya pada hari raya pertama.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika rakyat tempatan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, ada pekerja warga asing beragama Islam yang tidak berpeluang berbuat demikian.

Antara faktor utamanya ialah tiket penerbangan pulang ke negara asal yang mahal, justeru mereka memilih untuk terus mencari rezeki dan hanya beraya bersama rakan-rakan di Malaysia.

Mekanik, Babar Abbas, 26, berkata, tahun ini kali pertama dia beraya di Seksyen 15 di sini kerana mahu mengumpul duit sebelum dapat pulang ke Pakistan.

“Hari raya kedua sudah kerja jadi pada hari raya pertama, lepas sembahyang raya, saya jumpa dan keluar dengan rakan-rakan.

“Kalau sudah cukup duit mungkin tahun depan saya pulang (ke Pakistan) untuk bertemu keluarga dan sambut hari raya bersama mereka,” katanya yang sudah tinggal di negara ini lebih lima tahun.

Babar (kanan) dan rakannya, Farhad mula bekerja semula pada hari raya kedua.
Babar (kanan) dan rakannya, Farhad mula bekerja semula pada hari raya kedua.

M Fahad, 24, pula berkata, kos penerbangan yang tinggi memaksanya untuk membatalkan hasrat pulang ke Pakistan untuk menyambut Aidilfitri.

“Saya dan kawan-kawan hanya solat raya dan makan bersama sebelum keluar bersiar-siar di Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengawal keselamatan, Bakar Omar, 48, berkata, dia tidak pulang ke India tahun ini kerana mahu menjimatkan wang untuk dihantar kepada keluarganya.

“Jika saya balik akan guna banyak wang, lebih baik saya hantar kepada keluarga. Anak-anak saya masih kecil, mereka boleh guna wang itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Dataran Automobil di Seksyen 15 di sini mendapati kebanyakan warga asing sudah mula bekerja semula pada hari raya kedua.

Kawasan industri itu hanya lengang pada hari raya pertama apabila warga asing yang menetap di situ keluar ke kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sekitar ibu negara, Kuala Lumpur.

Fenomena ini dilihat sudah menjadi kebiasaan buat warga asing yang bekerja di sini yang mengambil kesempatan cuti sehari itu untuk bersiar-siar secara berkumpulan di sekitar ibu kota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!