56 kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen disita

Hanif (dua dari kanan) ketika pelancaran Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini pada Isnin.
Hanif (dua dari kanan) ketika pelancaran Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Sanggup menyewakan kenderaan sendiri kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu semata-mata ingin mendapatkan keuntungan antara RM400 hingga RM600 sebulan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perbuatan itu dikesan ketika operasi yang dijalankan pihaknya sejak 1 April lepas sehingga Ahad.

Menurutnya, dalam penguatkuasaan ini, JPJ Negeri Sembilan telah mengambil tindakan menyita 56 kenderaan yang dipandu oleh pemandu warga asing (PeWA) dengan melibatkan 96 kesalahan.

"Kenderaan-kenderaan ini disita kerana PeWA ini memandu tanpa lesen memandu dan juga LKM tamat tempoh atau tiada insurans.

"Mereka ini kebanyakannya memandu kenderaan perdagangan seperti lori kecil dan motosikal untuk tujuan perniagaan antaranya menjual aiskrim dan roti malah hasil siasatan mendapati kenderaan tersebut adalah milik warga tempatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini pada Isnin.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati kadar sewaan berkenaan adalah pelbagai sama ada harian atau secara bulanan dengan sewaan tertinggi antara RM400 hingga RM600.

"Justeru pemilik kenderaan juga diambil tindakan atas kesalahan membenarkan memandu bagi kesalahan tersebut dan perkara ini perlu diambil perhatian serius elak kejadian tidak diingini,selain orang ramai dinasihatkan supaya tidak bersubahat dalam perkara ini," ujar beliau.

Hanif (dua dari kanan) turut menyampaikan kuih raya kepada pegawai dan anggota terlibat pada majlis sama.
Hanif (dua dari kanan) turut menyampaikan kuih raya kepada pegawai dan anggota terlibat pada majlis sama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PeWA dalam kalangan warga Pakistan membabitkan 26 individu yang dikesan paling banyak melakukan kesalahan tersebut diikuti Bangladesh (12); Indonesia (tujuh); Myanmar (empat) dan lain-lain negara antara satu hingga tiga orang.

Selain itu, katanya, JPJ juga telah menempatkan pegawai-pegawainya yang menyamar sebagai penumpang bas.

"Sebanyak 20 buah bas telah dinaiki oleh anggota JPJ yang membuat penyamaran bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) kepada pemandu dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 saman dikenakan kepada pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan.

"Tiada pemandu kedua atau memandu melebihi empat jam merupakan kesalahan yang paling tinggi iaitu 17 kes diikuti memandu di lorong kanan berterusan sembilan kes, ambil dan turun penumpang di tempat tidak dibenarkan serta tidak selenggara buku log masing-masing lapan kes.

"Kesalahan membabitkan tata kelakuan pemandu pula merekodkan tujuh kes dan lain-lain kesalahan empat kes," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!