Muhammad Kamil tempelak cubaan sebar fitnah soal kesihatan PM

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam keadaan baik, meskipun menggalas tanggungjawab besar sebagai pemimpin nombor satu negara.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penjelasan itu perlu dibuat susulan wujud fitnah daripada pihak tertentu yang cuba mencipta persepsi mengenai tahap kesihatan Ahli Parlimen Tambun berkenaan.

"Saya mengesahkan bahawa keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik daripada sebahagian kita meski diasak dengan jadual yang terlalu padat.

"Untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan.

"Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf dan yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ kerjanya juga kadang-kadang tertinggal.

"Beliau tidak berganjak daripada tekadnya untuk merubah negara dan perubahan adalah proses yang mesti ditelan meski memakan masa dan menerima kecaman," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.

Terdahulu, wujud pihak tertentu yang mempersoal mengenai tahap kesihatan Anwar dengan tujuan untuk menyebar fitnah.

Ujarnya, dakwaan tersebut jelas tindakan terdesak pihak tertentu untuk 'membasuh' minda masyarakat bagi memberi persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, kesucian bulan Ramadan yang baharu berakhir dan kini disusuli sambutan Aidilfitri tidak memberi sebarang keinsafan terhadap kumpulan pemfitnah.

"Pesanan daripada saya yang kerdil ini kepada beberapa individu yang menjadikan fitnah sebagai kegiatan harian, tinggalkan amalan membadutkan diri dan merosakkan fikrah masyarakat kerana Islam itu rahmah dan menolak fitnah," katanya.

Muhammad Kamil dalam masa sama turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap individu yang memfitnah itu.

Tambahnya, semua pihak diberi kebebasan untuk mengkritik tapi bukan dengan memfitnah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28