396 tangki air statik, 39 lori tangki disedia seminggu sebelum Aidilfitri

Dr Izani (dua dari kanan) bersama tetamu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu.
Dr Izani (dua dari kanan) bersama tetamu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyediakan sebanyak 396 tangki air statik bagi menampung keperluan bekalan air di beberapa daerah selepas pertambahan isi rumah berikutan kepulangan perantau di negeri ini sempena Aidilfitri.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, selain itu syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) juga menggerakkan sebanyak 39 lori tangki air ke kawasan terlibat.

Menurut beliau, kemudahan itu sudah disediakan di beberapa kawasan seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan pengguna menyediakan keperluan perayaan berkenaan.

"Bagaimanapun, kita akui masalah air bertambah merudum dalam cuaca panas ditambah penggunaan maksimum isi rumah kerana ramai yang pulang untuk bersama keluarga pada hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1445 Hijrah Pas Kawasan Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Dr Izani memberitahu, penggunaan lori tangki juga berterusan tanpa henti dan penugasan penghantaran air dilaksanakan di semua kawasan walaupun pada hari raya.

"Saya minta maaf tetapi sudah mencuba yang terbaik dan sentiasa ada penambahbaikan. Insya-ALLAH masalah ini akan reda apabila perantau sudah beransur pulang ke luar Kelantan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang menjelaskan, bagi kawasan terjejas teruk seperti daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, pihaknya juga berusaha dengan melakukan pembaikan termasuk menambah loji baharu untuk tambahan kepada 42 loji sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau lagi, kerajaan kini sedang membina beberapa buah loji air termasuk satu di Gua Musang yang dijangka boleh beroperasi pada 2028.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kekurangan air di Merbau Chondong, Machang disebabkan tapak takungan air terlalu rendah mengakibatkan kapasiti kenaikan air berkurangan ditambah faktor kemarau.

"Saya nasihatkan pengguna supaya berjimat cermat menggunakan air untuk aktiviti harian terutama pada musim panas ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan perantau di Gua Musang terpaksa mandi sunat Hari Raya Aidilfitri di sungai berikutan masalah ketiadaan air di kediaman mereka.

Selain itu, 300 keluarga di Mukim Telipot Pasir Puteh terpaksa menyambut hari raya secara ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!