Perit sambut raya tanpa bekalan air

Saufi Ariffin, 60, mengagihkan air ke dalam bekas simpanan untuk kegunaan keluarganya berikutan gangguan bekalan air ketika ditemui Bernama di Kampung Chengal Pulas pada Jumaat. Foto Bernama
Saufi Ariffin, 60, mengagihkan air ke dalam bekas simpanan untuk kegunaan keluarganya berikutan gangguan bekalan air ketika ditemui Bernama di Kampung Chengal Pulas pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KEMERIAHAN Aidilfitri di sesetengah kawasan melibatkan beberapa buah negeri bertukar suram apabila mengalami gangguan bekalan air sehingga menjejaskan persiapan umat Islam menyambut hari kemenangan mereka setelah sebulan berpuasa.

Sudah pasti pelbagai persiapan telah dirancang antaranya memasak juadah seperti ketupat, rendang, lotong, kuih muih bagi menjamu sanak saudara yang mengunjungi rumah pada hari raya.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terbantut memandangkan penyediakan makanan memerlukan sumber air bersih, begitu juga dengan penggunaan bahan mentah, pinggan mangkuk dan sebagainya

Lebih malang apabila anak-anak dan adik beradik pulang ke kampung untuk menyambut kemeriahan raya berasa kecewa akibat gangguan bekalan asas tersebut yang berlaku di kawasan rumah ibu bapa masing-masing.

Itu yang dialami oleh kira-kira 300 keluarga di Mukim Telipot, Pasir Puteh, Kelantan yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri secara ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa lepas iaitu sehari sebelum lebaran.

Penghulu Muhd Zali Mat Daud, 57, berkata, rata-rata penduduk tidak dapat menyediakan juadah raya seperti sebelum ini kerana bekalan air yang disimpan hanya mencukupi untuk mandi dan keperluan penting sahaja.

Beliau berkata, anak-anak yang pulang dari perantauan untuk berhari raya bersama keluarga turut menanggung keperitan ketiadaan bekalan air.

Bagi penduduk di Kampung Felda Piol, Jerantut, Pahang, perayaan tahun ini hambar akibat gangguan bekalan air yang dipercayai berlaku sejak Ahad lepas.

Artikel Berkaitan:

Seorang kerani, Roslan Rusly, 39, berkata, persiapan menyambut hari raya tahun ini terbantut kerana air di rumah mentuanya kering kontang.

Beliau yang tiba di kampung isterinya sehari sebelum raya memberitahu gembira untuk berkumpul bersama keluarga tetapi terpaksa menginap di hotel berikutan masalah bekalan air.

Sementara itu, penduduk dari beberapa kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Kulai, Johor mengharapkan pihak berwajib dapat menangani masalah bekalan air yang kerap terputus di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian ke Kampung Sri Muar yang merupakan salah satu kampung di kawasan berkenaan mendapati rata-rata penduduk resah dengan masalah yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga memberi kesan kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Oleh sebab itu, pihak yang berwajib tidak sepatutnya memandangkan enteng dan perlu mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!