Tidak logik MCA 'parti tauke' - Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menempelak kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa parti itu adalah 'parti tauke' iaitu hanya untuk orang kaya dan mereka yang ada kedudukan.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, MCA adalah sebuah parti yang memperjuangkan rakyat dari setiap lapisan masyarakat walaupun ia ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin perniagaan.

Katanya, jika MCA 'parti tauke' beliau tidak diangkat sebagai presiden memandangkan ibu bapanya hanya bekerja sebagai penoreh getah.

"Kalau MCA parti tauke bagaimana saya yang merupakan anak penoreh getah boleh jadi presiden parti, manakala setiausaha agung saya, bapa dia adalah pengedar surat khabar. Kita ada anak petani penjaja dan sebagainya. Macam tidak logik apabila parti ini dilabelkan sebegitu.

"Saya mahu bertanya sekarang mereka jadi menteri, berkawan dengan Tan Sri dan Datuk Seri siapa jadi parti tauke sekarang? soalnya.

Terdahulu, Anthony mengakui tidak pernah terfikir untuk menyertai MCA meskipun parti tersebut pernah berada di kedudukan tinggi suatu ketika dahulu.

Jelasnya, pendirian tersebut masih tidak berubah selepas menerima gaji ‘tidak cukup makan’ ketika bekerja di ibu pejabat DAP sejurus menamatkan pengajian di universiti.

Anthony juga memiliki persepsi terhadap MCA bahawa parti itu hanya boleh diwakili orang kaya selain tidak mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya kaum Cina.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Anthony ketika diwawancara dalam program bual bicara ‘Podcast Keluar Sekejap’ yang dimuat naik di laman YouTube, baru-baru ini.

Mengulas dakwaan MCA gagal membela kebajikan rakyat terutama masyarakat Cina, Ka Siong berkata, sudah tentu takrifan DAP bahawa MCA gagal kerana tidak ikut rentak mereka seperti mahukan Malaysian Malaysia.

"Kemudian Deklarasi Setapak pada tahun 60-an yang mana mereka mahukan hak kesamarataan kaum, jangan ada perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera, ini pun MCA dianggap gagal kerana tidak mengikut takrifan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kewujudan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) bukti sumbangan MCA kepada masyarakat.

"UTAR dan TAR UMT telah melahirkan 383,000 graduan. Ini bukan angka kecil, pada waktu ini pun 53,000 pelajar di kedua-dua institusi ini.

"Jika MCA tidak berbuat apa-apa, tak kan kita ada hasil ini? jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!