Dulu kerani, kini pakar industri dandanan rambut

Situ Rohani (tiga dari kanan) bersama barisan kakitangan di Hanru Salon Studio.
Situ Rohani (tiga dari kanan) bersama barisan kakitangan di Hanru Salon Studio.
A
A
A

TEMERLOH - Bermula dengan minat ke salun sebagai terapi dan kecantikan diri, siapa menyangka seorang bekas kerani kini bergelar wanita besi dalam dunia keusahawanan dengan memiliki tiga cabang perniagaan yang berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Hani D Unggul And Bhd, Siti Rohani Othman, 43, yang juga anak jati Temerloh dari Kampung Tebal di sini membuktikan semangat juangnya yang tinggi untuk berjaya dalam dunia keusahawanan.

Beliau yang mesra dengan panggilan Hani itu kini memiliki sebuah pusat dandanan rambut dan akademi, mengusahakan rumah rehat di Temerloh dan terlibat dalam bidang e-tender perolehan.

Malah Hani juga diiktiraf sebagai pakar industri dandanan rambut negara oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 2012.

Siti Rohani
Siti Rohani

"Saya berhenti menjadi kerani pada 2008 dan ketika itu terfikir apa yang ingin dilakukan untuk masa depan, jadinya kerana suka pergi ke salun, saya mengambil keputusan untuk menyertai kursus selama setahun lebih.

"Kemudian saya buka Hani D Unggul Muslimah Terapi dan Kecantikan pada 2010 dengan dua pekerja," katanya.

Tambah Hani, selepas itu beliau memberanikan diri membuat kertas cadangan ke Kolej Komuniti Temerloh dalam bidang dandanan rambut dan mendapat pelajar untuk dilatih selama dua tahun.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak berhenti menimba ilmu di mana pada 2011, saya menyambung pengajian Diploma Kemahiran Rambut dan mengambil peperiksaan sebelum berjaya diiktiraf oleh JPK sebagai pakar industri negara dalam bidang dandanan rambut," jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh itu.

Jika ditanya cabarannya dalam bidang dandanan rambut, Hani mengakui dominasi oleh kaum lain menyebabkan beliau nekad untuk menceburi bidang tersebut.

"Ketika belajar dulu, saya rasakan kemahiran menggunting itu amat sukar berbanding yang lain, memang perlukan kesabaran tinggi, tidak mudah putus asa dan minat mendalam untuk belajar bidang ini.

"Selain menyertai kursus, saya juga banyak ambil kelas jangka pendek serta menimba ilmu menerusi platform YouTube," tambahnya.

Siti Rohani (berdiri, empat dari kanan) ketika melihat pelajar melakukan peperiksaan amali baru-baru ini.
Siti Rohani (berdiri, empat dari kanan) ketika melihat pelajar melakukan peperiksaan amali baru-baru ini.

Kerana sukakan cabaran, Hani juga membuat keputusan berani mengambil alih pengurusan rumah rehat Temerloh pada 2016 hingga sekarang dan bersyukur kerana mendapat sokongan padu keluarganya.

Untuk memastikan ramai anak muda mendapat kemahiran tersebut, Hani berkongsi ilmu dan pengalaman sedia ada menerusi Hanru Salon Studio.

"Kami mengambil 15 pelajar untuk setiap kali kemasukan dengan tempoh pembelajaran setahun bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dan Tiga serta menerima elaun RM500 sebulan," ujarnya yang turut memiliki pusat latihan fesyen.

Dalam pada itu, beliau juga berharap dapat membuka lebih banyak cawangan selain dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan pakar dalam bidang terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28