Kilang lama transit edar dadah

Mohd Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Marang hari ini.
Mohd Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Dua lelaki ditahan di kawasan sebuah kilang lama di Kampung Sungai Serai di sini yang dipercayai dijadikan lokasi transit jual beli dadah.

Mereka ditahan selepas berlaku pergelutan ketika cuba melarikan diri dalam serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Marang kira-kira jam 2 petang.

Sebelum itu, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 38 tahun yang disyaki pengedar dadah itu duduk di atas sebuah motosikal dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, sebanyak 15 tiub straw berikat gelang getah berisi pil merah disyaki dadah jenis yaba berjumlah 147 biji ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.

"Pemeriksaan turut dilakukan pada motosikal sebelum menemui dua jenis dadah bernilai lebih RM25,000 yang disimpan di dalam beg hitam.

"Serbuan dilakukan selepas menerima maklumat kilang lama yang agak tersembunyi itu dijadikan transit untuk mengedar dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Bukit Payong, Binjai Rendah dan Wakaf Tapai sejak tiga minggu lalu.

"Ujian air kencing dilakukan menunjukkan mereka positif methamphetamine dan semakan mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.