Dah ada duit berjuta pun masih tamak

Hampir setiap hari pasti ada sahaja yang menjadi mangsa scammer. Foto hiasan
Hampir setiap hari pasti ada sahaja yang menjadi mangsa scammer. Foto hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan pun tak tahulah sampai bila rakyat negara ini akan terus menjadi mangsa penipuan scammer ini.

Boleh dikatakan hampir setiap hari pasti ada saja yang menjadi mangsa.

Golongan yang terjerat pula bukan biasa-biasa latar belakangnya, ada kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang bagus.

Sungguh menghairankan. Makin bijak seseorang itu makin mudah pula kena tipu dengan penipu.

Nilai kerugian pula bukannya sedikit tapi sudah mencecah jutaan ringgit.

Jika dulu mungkin kita terkejut dengan nilai kerugian ratusan ribu ringgit, tapi kini angka juta-juta sudah menjadi kelaziman.

Walaupun pelbagai peringatan dan amaran sudah diberikan, ia tidak menghalang daripada berlakunya kes-kes yang melibatkan mangsa terbaharu.

Begitu juga testimoni kes-kes yang berlaku sebelum ini, masih tidak ada yang mahu menjadikannya sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Pada pandangan Merak Jalanan, ia berbalik kepada sikap mangsa sendiri yang mempunyai sikap tamak dan tidak pernah berasa cukup dengan wang yang ada.

Bila sudah ada duit berjuta-juta dalam bank, mereka mahu 'beranakkan' lagi wang tersebut dengan cara mudah.

Kerana ketamakan itu, mereka lebih mudah percaya kepada skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sedangkan semua itu hanya penipuan semata-mata.

Akhirnya terpaksa berputih mata, wang simpanan seumur hidup hilang dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Tak salah untuk menggandakan duit, tapi pilihlah institusi kewangan yang terbukti selamat contohnya yang telah dijamin kerajaan. Walaupun tidak tinggi pulangannya, sekurang-kurangnya ada juga dividennya.

Kesimpulannya, usahlah tamak kerana orang tua dulu-dulu sudah lama berpesan, orang tamak selalu rugi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28