JSPT siar statistik kemalangan jalan raya setiap hari

Sebuah kereta mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Gopeng baru- baru ini. Foto ihsan Bomba Perak. Gambar kecil: Mohd Azman
Sebuah kereta mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Gopeng baru- baru ini. Foto ihsan Bomba Perak. Gambar kecil: Mohd Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menyiarkan maklumat statistik harian jumlah kes dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ini seperti mana hasil keputusan mesyuarat jawatan kuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.

Menurutnya, setiap hari statistik kemalangan jalan raya dan kematian akan dikeluarkan secara 'real time' dengan mengambil data yang berlaku pada hari sebelumnya.

"Penyiaran berbentuk info grafik akan dimuat naik di laman sosial rasmi JSPT seperti Facebook, Instagram dan X bermula Jumaat (15 Mac) dan masa dikeluarkan pada sebelum atau jam 2 petang.

"Penyiaran data statistik kepada umum ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai betapa seriusnya kes kemalangan setiap hari," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, PDRM menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.

Jelasnya, kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Untuk info, jumlah kemalangan yang direkodkan pada Khamis di seluruh negara sebanyak 1,999 kes membabitkan 12 kematian.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28