Aidilfitri: Kemalangan maut catat peningkatan ketara

Jumlah kemalangan maut pada hari ketiga pelaksanaan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri mencatatkan peningkatan ketara iaitu 27 kes dengan 35 kematian direkodkan pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Nasri
Jumlah kemalangan maut pada hari ketiga pelaksanaan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri mencatatkan peningkatan ketara iaitu 27 kes dengan 35 kematian direkodkan pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Nasri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kemalangan maut pada hari ketiga pelaksanaan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri mencatatkan peningkatan ketara iaitu 27 kes dengan 35 kematian direkodkan pada Rabu.

Lebih mengejutkan statistik yang direkodkan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mencatatkan penyumbang tertinggi kemalangan adalah melibatkan motosikal iaitu sebanyak 17 kes kemalangan maut.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, rekod berkenaan melibatkan motosikal, kereta, basikal serta pejalan kaki.

"Pecahan mangsa kemalangan maut terdiri daripada 17 penunggang serta seorang pembonceng motosikal, tiga pemandu serta tujuh penumpang kereta, seorang penunggang basikal dan enam pejalan kaki.

"Laluan yang terlibat adalah lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan pelbagai kategori laluan lain," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang tinggi turut menjadi antara faktor kepada berlakunya kemalangan terutamanya di laluan berkenaan.

"Sebanyak 1.71 juta kenderaan direkodkan menggunakan laluan kendalian PLUS melibatkan Lebuhraya Utara Selatan.

"Selain itu, 305,742 kenderaan menggunakan laluan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) kendalian Anih Berhad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kurangnya pematuhan terhadap peraturan jalan raya antara menjadi pendorong berlakunya kemalangan.

"Antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna adalah mengekori rapat serta jarak ikutan yang terlalu dekat dan terdapat juga pengguna bertindak mengubah haluan atau memotong secara tidak selamat.

"Sikap memandu secara terburu-buru kerana ingin cepat tiba di lokasi dituju antara faktor berlaku kemalangan selain cuai ketika keluar atau masuk di persimpangan jalan selain keletihan akibat memandu dalam tempoh yang lama," katanya.

Tambah beliau, pengguna dinasihatkan merancang dahulu pergerakan terutama perjalanan yang jauh.

"Jika perjalanan biasa sepatutnya tiga jam tetapi bertambah dari masa perjalanan biasa, maka perancangan semula perlu dibuat seperti ubah waktu pergerakan atau mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat.

"Pengguna juga perlu sentiasa berkerjasama, berhemah, berhati-hati dan fokus serta serius kepada pemanduan," katanya.

Tegas beliau, semua pengguna bertanggungjawab memastikan keselamatan ketika dalam perjalanan ke tempat yang ingin dituju.

"Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

"Ingatlah kepentingan menjaga nyawa itu penting dan jangan melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.

Media sebelum ini melaporkan PDRM akan melaksanakan penguatkuasaan Op Selamat ke-22 dengan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi' bermula 8 hingga 13 April ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengguna jalan raya diingatkan memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.