Perlu bersih, mesti dilihat bersih

A
A
A

LEBIH enam bulan setelah Malaysia Baharu, kerajaan PH bukan sahaja perlu bersih, malah mesti dilihat bersih sebersih-bersihnya.

Ketika segala usaha dibuat untuk mencuci daki dan najis kerajaan silam, Putrajaya perlu membuktikan – dan sedang diperhatikan! – tidak ada sebarang kekotoran baharu menodai pentadbirannya.

Tentu sekali ini satu cabaran hebat, dan bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi pada ketika berahi bulan madu masih terasa, dan ghairah mendapatkan habuan, pemberian kontrak misalnya, terbentang luas di depan mata.

Bagi sesetengah orang kerajaan baharu ada peluang baharu. Dan peluang itu mesti direbut – sekiranya boleh menggunakan kaedah paling mudah.

Belum apa-apa sudah ada yang berani menyuarakan secara terang-terang, tanpa sedikit pun rasa malu, bahawa sesetengah kontrak kerajaan patut diberikan kepada parti pemerintah.

Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada perhimpunan agung parti menjelang tahun baharu, menyatakan sesuatu yang boleh dilihat sebagai tanda-tanda awal daki.

Beliau mencadangkan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Meminta @ mengecak secara terbuka untuk memperoleh kontrak kerajaan demi membantu masalah kewangan parti! Apa ertinya ini? Amalan busuk seperti ini mungkin berlaku masa silam, tetapi mesti dielakkan pada era pasca tsunami PRU14, jangan sekali-kali!

Artikel Berkaitan:

Memang Abdul Rashid dikecam pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan rakan separti. Malah Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan itu adalah pandangan peribadi, dan bukan pendirian parti.

Hannah Yeoh pula menegaskan pendirian kerajaan dengan mengatakan sesiapa sahaja yang ingin memohon kontrak kerajaan perlu mendapatkannya secara tender terbuka. Anggota Parlimen DAP yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata:

“Kita sokong golongan yang layak mendapatkan kontrak yang betul-betul cekap, hanya yang boleh buat kerja akan dapatkan tender tersebut, tak kira apa parti sekali pun.”

Ketegasan dan iltizam kerajaan untuk mewujudkan rekod bersih rasuah terutama dalam hal-hal pemerolehan kontrak dan tender, sepatutnya meyakinkan rakyat yang telah menolak kerajaan kleptokrasi pada PRU14 lalu.

Tetapi itu bukan satu jaminan bahawa songlap dan permainan kotor dapat dielakkan seratus peratus. Sebenarnya di tangan pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab penyelewengan boleh sahaja berlaku.

Sebagai contoh, dalam diam-diam dan belum lama berkuasa, Bersatu di Perlis telah dipalitkan dengan amalan salah guna kuasa melibatkan pemimpin parti negeri Indera Kayangan Harum Manis itu.

Seperti yang dilaporkan kepada polis, telah terjadi pemalsuan tandatangan dan dokumen untuk membuat bayaran lebih RM188,000 kepada sebuah syarikat.

Dan orang yang membuat laporan penyelewengan itu ialah Wan Saiful Wan Jan sendiri, Setiausaha Bersatu Perlis yang baru dipecat. Beliau telah diminta oleh pihak tertentu supaya menarik balik laporan polis berkenaan, tetapi tidak melayannya.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga berkata telah ditawarkan sejumlah wang yang besar untuk mengatur pemberian satu kontrak kerajaan.

Beliau bagaimana pun bertegas tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian “kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.”

Laporan penyelewengan itu telah dibuat di Kangar pada 15 Disember. Oleh sebab laporan tidak ditarik balik oleh pengadu, maka menjadi tanggungjawab polis untuk segera menyiasat.

Orang ramai ingin mengetahui siapakah pelaku yang cuba mencalitkan daki dan najis dalam pentadbiran yang berusia baru setahun jagung.

Dan, siapa pun yang terlibat mesti dihukum.

Cakap-cakap untuk mewujudkan pentadbiran yang bersih – bebas dari sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan – mesti dilakukan dengan sungguh-sungguh. Kalau tidak ia dianggap hanya cakap-cakap kosong @ auta yang nanti akan diperlekeh orang sebagai manifesto tahi ayam menjelang mengundi 9 Mei.

Harap-harap ada ramai lagi mereka – tidak kira kaum, dari parti mana – yang beriltizam seperti Wan Saiful. Kalau tidak kerajaan baharu ini akan menjadi seperti kerajaan lama, dan lima tahun lagi akan ditolak rakyat!