Peniaga sayur rugi hampir RM1 juta ditipu ‘scammer’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga sayur kerugian RM958,088 selepas terpedaya dengan tawaran tuntutan harta bernilai AS$26,700,000 milik seorang individu yang didakwa telah meninggal dunia.

Lelaki warga emas berusia 69 tahun dijanjikan 50 peratus bahagian daripada tuntutan tersebut sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan melalui aplikasi Facebook daripada individu (suspek) yang menyamar sebagai pegawai Barclays Bank of Dubai pada 30 Mac tahun lalu.

Menurutnya, suspek telah memberi tawaran kepada mangsa dengan mengaku sebagai saudara kepada individu yang mendeposit AS$26,700,000 melalui bank tersebut yang telah meninggal dunia.

"Tertarik dengan bahagian yang dijanjikan, mangsa bersetuju dengan tawaran tersebut sebelum talian disambungkan kepada 'peguam' untuk urusan selanjutnya.

"Mangsa telah diminta membuat transaksi atas segala bayaran yang dikenakan termasuk cukai, levi, bayaran anti pengubahan wang haram dan sebagainya," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, mangsa membuat 70 kali transaksi ke dalam 26 akaun bank yang berbeza bermula 9 Mei 2023 hingga 11 Mac 2024 dengan jumlah keseluruhan RM958,088.

"Mangsa menyedari ditipu apabila gagal menerima sebarang bayaran seperti mana dijanjikan manakala wang simpanan yang 'dilaburkan' turut lesap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai yang menerima panggilan meragukan diminta segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya diminta untuk memberikan sebarang maklumat perbankan, jangan dedahkan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28