Dua warga emas rugi RM2.247 juta, ditipu pelaburan dalam talian

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua wanita warga emas kerugian sejumlah RM2.247 juta akibat ditipu sindiket pelaburan dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada suri rumah berusia 63 tahun dan pengurus syarikat swasta berusia 66 tahun itu pada Selasa dan semalam.

Beliau berkata, suri rumah berkenaan mendakwa kerugian lebih RM1.09 juta selepas menyertai pelaburan saham yang diiklankan menerusi laman sosial dengan dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Mangsa dijanjikan keuntungan antara lapan hingga 44 peratus daripada modal pelaburan serta boleh memantau keuntungan itu menerusi satu aplikasi.

"Mangsa mula melabur dengan jumlah kecil dan menerima keuntungan seperti dijanjikan, namun selepas itu mangsa tidak lagi mendapat sebarang keuntungan setelah melabur hingga RM1.09 juta.

"Suspek juga gagal dihubungi manakala aplikasi itu juga tidak dapat lagi diakses,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurus syarikat swasta itu pula kerugian RM1.195 juta akibat diperdaya seorang individu yang dikenali menerusi aplikasi mencari kenalan, mempengaruhinya untuk membuat pelaburan dengan menjanjikan keuntungan yang besar dan mudah.

"Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi untuk memantau pelaburan, namun setelah melabur dengan jumlah besar itu, mangsa hanya menerima sedikit keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Setelah itu, suspek berkenaan turut gagal dihubungi dan aplikasi berkenaan tidak dapat lagi diakses oleh mangsa,” katanya menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kumar turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terutama melibatkan urusan transaksi kewangan dan mengikuti laman Facebook serta TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi mendapatkan maklumat berkaitan modus operasi jenayah komersial seperti penipuan pelaburan. - Bernama