Aliran trafik di beberapa lebuh raya lancar setakat 9 malam

Petugas PLUS gigih melakukan pemantauan pada skrin secara langsung ketika tinjauan aliran trafik berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri di Pusat Pemantauan Trafik PLUS pada Isnin. Foto Bernama
Petugas PLUS gigih melakukan pemantauan pada skrin secara langsung ketika tinjauan aliran trafik berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri di Pusat Pemantauan Trafik PLUS pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama setakat 9 malam ini lancar, dengan tiada sebarang kesesakan teruk dilaporkan berlaku.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara) dan Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan), keadaan dilaporkan terkawal manakala di Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) berlaku sedikit peningkatan jumlah kenderaan.

"Setakat ini, semua laluan lebuh raya bergerak lancar kecuali di bahagian selatan tanah air iaitu di Tangkak, Johor menuju Jasin, Melaka yang terdapat peningkatan jumlah kenderaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, aliran trafik Plaza Tol Karak menghala Pantai Timur juga mulai sesak, disebabkan orang ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing susulan tol percuma selama dua hari bermula hari ini.

Akaun rasmi Twitter PLUS Trafik pula memaklumkan terdapat kemalangan yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di lebuh raya antaranya di Kilometer(KM) 172.9 arah utara dari Tangkak ke Jasin dan KM265.7 arah selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh (U), menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: