35 peratus tentera tak berpencen tidak terima BSH

Zambery (empat dari kiri) menyampaikan Sumbangan Aidilfitri anjuran Persatuan Veteran Tidak Berpencen Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir pada Isnin.
Zambery (empat dari kiri) menyampaikan Sumbangan Aidilfitri anjuran Persatuan Veteran Tidak Berpencen Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir pada Isnin.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kira-kira 35 peratus daripada 41,000 tentera tidak berpencen berusia 60 tahun tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya dinikmati oleh mereka sebanyak RM300 berikutan tidak mengemaskini data mereka di 'Veteran Integrated Benefit System 2.0' (VIBES 2.0).

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, bayaran yang sepatutnya diterima mereka dikembalikan semula pihak bank kepada JHEV berikutan akaun tidak aktif.

Menurutnya, tiada istilah tercicir daripada menerima bantuan memandangkan JHEV termasuk persatuan tentera tidak berpencen memainkan peranan sebaiknya bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Tercicir ini adalah disebabkan oleh mereka sendiri, kalau mereka berada dalam persatuan yang dia maklumkan kepada ahli bahawa dia ada masalah serta perlukan bantuan maka namanya akan sampai kepada pihak JHEV.

"Setiap nama veteran atau bekas tentera yang menamatkan perkhidmatan ada dalam sistem (JHEV) cuma sekiranya (dia) tidak kemas kini sistem itu (maka bantuan sukar sampai) memandangkan data lama tidak membenarkannya.

"Oleh itu, mereka diminta tampil ke pejabat JHEV atau berjumpa dengan pihak persatuan untuk mengemaskini data dan bukannya menjadikan platform media sosial untuk mengadu yang ia tidak membantu apa-apa,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri anjuran Persatuan Veteran Tidak Berpencen Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Zambery berkata, persatuan induk yang dikenali sebagai Persatuan Veteran ATM yang menggabungkan 123 persatuan membabitkan ATM akan diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Jelas beliau, ia susulan pihaknya akan bertemu dengan semua wakil persatuan veteran seluruh negara untuk membincangkan mengenai perlembagaan mewujudkan persatuan induk sebelum dibentangkan kepada pengurusan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Majlis Veteran Kebangsaan telah meluluskan cadangan yang bentangkan pada tahun lalu dan jawatankuasa kerja juga sudah meneliti dan secara prosesnya semua persatuan veteran akan dicantumkan dan menjadi satu persatuan sahaja.

"Sebelum ini ada rancangan untuk menstrukturkan semula semua persatuan veteran kepada satu persatuan induk (utama) yang mana peringkat Majlis Veteran Kebangsaan sudah meluluskan cadangan ini dan kita telah bentangkan pada tahun lalu.

"Jawatankuasa kerja telah meneliti dan secara prosesnya telah pun berjaya mencapai kata sepakat bahawa semua persatuan veteran akan dicantumkan dan menjadi satu persatuan sahaja namun dari segi perlembagaan masih perlu dibincangkan.

"Apabila semua (bersetuju mengenai perlembagaan ditetapkan dan diharmonikan) maka saya percaya dalam hujung tahun ini atau awal tahun depan kita dah ada satu persatuan baru yang akan dikenali sebagai Persatuan Veteran ATM," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!