Ringgit rendah berbanding dolar AS pada sesi pembukaan

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu didorong oleh data senarai gaji bukan ladang AS yang melangkaui jangkaan. Foto hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu didorong oleh data senarai gaji bukan ladang AS yang melangkaui jangkaan. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu didorong oleh data senarai gaji bukan ladang AS yang melangkaui jangkaan.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.7500/7555 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7490 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, senarai gaji bukan ladang AS mencapai 303,000 pada Mac berbanding 200,000 berdasarkan jangkaan pasaran.

"Ini ternyata mengukuhkan Rizab Persekutuan AS untuk menangguhkan keputusan menurunkan kadar mereka yang akan meningkatkan pandangan dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit dijangka kekal rendah hari ini pada RM4.74-RM4.75 berikutan minggu dagangan yang singkat disebabkan cuti umum yang boleh menyumbang kepada aktiviti pasaran yang kurang menggalakkan yang akan mendorong ringgit diniagakan dalam jajaran kecil.

Menurut Biro Statistik Buruh Jabatan Buruh AS pada Jumaat, senarai gaji bukan ladang meningkat sebanyak 303,000 pekerjaan pada bulan lepas, mengatasi unjuran ahli ekonomi sebanyak 200,000 pekerjaan, dengan anggaran daripada 150,000 hingga 250,000.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding euro kepada 5.1433/1493 daripada 5.1437/1470 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding pound kepada 5.9931/6.0000 daripada 5.9956/9994, menambah berbanding yen Jepun kepada 3.1310/1348 daripada 3.1341/1363 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9400/9602 daripada 12.9495/12.9641 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.2 daripada 299.4/299.8 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5190/5234 daripada 3.5208/5233 sebelum ini, bagaimanapun tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 sejak Jumaat lepas. - Bernama


Bursa Malaysia dibuka tinggi

Dalam pada itu Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, menjejaki prestasi semalaman Wall Street berikutan peniaga gembira apabila data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) kukuh yang dikeluarkan pada 5 April, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.33 mata kepada 1,555.58 daripada 1,555.25 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.53 mata kepada 1,556.78.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 278 berbanding 203 manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,523 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 390.78 juta unit bernilai RM147.41 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pasaran Malaysia mengekalkan daya tahannya dengan ditutup positif minggu lepas tanpa mengambil kira prestasi serantau yang lemah.

"Walaupun reaksi positif daripada Wall Street, kami percaya sentimen akan terus berhati-hati. Oleh itu, minat belian akan beralih kepada sektor tenaga sejajar dengan harga minyak mentah Brent yang kukuh, ditutup melebihi paras AS$91.00 setong.

"Kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,550-1,560 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata, Wall Street meningkat semula pada minggu lepas berikutan peniaga memutuskan untuk menyokong data pekerjaan yang kukuh dan mengabaikan prospek menangguhkan penurunan kadar faedah buat masa ini.

"Justeru, Dow Jones Industrial Average (DJIA) naik 307 mata manakala Nasdaq menambah 199 mata dan hasil 10 tahun AS meningkat kepada 4.40 peratus,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.66, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.19 manakala CIMB Group merosot 1.0 sen kepada RM6.62, Tenaga Nasional susut 2.0 sen kepada RM11.50 dan Petronas Chemical berkurangan 2.0 sen kepada RM6.81.

Dalam kalangan saham aktif, SBH Marine menambah 5.0 sen kepada 27.0 sen, MMAG Holdings naik 1.0 sen kepada 19.5 sen, KNM Group dan Velesto Energy, masing-masing merosot 0.5 sen kepada 8.0 sen dan 27.5 sen dan PUC Bhd tidak berubah pada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.19 mata kepada 11,711.37, Indeks FBMT 100 meningkat 6.55 mata kepada 11,345.29 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.45 mata kepada 11,873.55.

Indeks FBM 70 naik 26.31 mata kepada 16,358.38 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 0.35 mata kepada 4,981.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 16.65 mata kepada 17,256.07, Indeks Perladangan menambah 15.59 mata kepada 7,475.68 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.44 mata kepada 184.62 dan Indeks Tenaga susut 5.15 mata kepada 962.35.


Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil berikutan operasi BNM

Kadar jangka pendek pula dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dianggarkan sebanyak RM22.15 bilion dalam sistem konvensional dan RM22.74 bilion dalam dana Islam.

Hari ini, bank pusat akan menjalankan dua tender pasaran wang konvensional bernilai RM300 juta untuk tujuh hari dan 14 hari serta dua tender Qard bernilai RM400 juta dan RM300 juta, masing-masing untuk tujuh hari dan 14 hari.

Bank pusat turut menjalankan tender repo berbalik bernilai RM1 bilion untuk 30 hari.

Ia turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu dan tiga bulan.

Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM22.6 bilion dan RM22.0 bilion untuk tender semalaman Murabahah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!