Lotus’s, KPDN perkasa PKS tempatan tembusi pasaran

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terus diberi peluang memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing menerusi kerjasama strategik antara Lotus’s Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, sokongan kepada usahawan tempatan bukan sekadar menyediakan ruang jualan, sebaliknya membantu mereka membina kapasiti perniagaan untuk berkembang secara lebih mampan.
Menurutnya, setiap produk tempatan yang dipasarkan mewakili usaha usahawan, pekerja dan keluarga yang bergantung kepada kejayaan perniagaan berkenaan untuk meneruskan kehidupan.
“Menyokong PKS tempatan bermakna kita turut melabur dalam kesejahteraan rakyat dan potensi perusahaan Malaysia.
“Peranan kami bukan sekadar menyediakan ruang di rak jualan, sebaliknya mahu membantu usahawan membina keupayaan dan keyakinan untuk terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Kempen Jom Malaysia 2026 di Lotus’s Ampang pada Khamis.
Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Bahagian Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari.
Inisiatif Jom Malaysia 2026 bertujuan membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing, memperkukuh operasi perniagaan serta membina hubungan komersial jangka panjang dalam sektor peruncitan moden.
Program itu turut menampilkan karnival selama empat hari yang menghimpunkan 20 usahawan tempatan bagi memperkenalkan produk mereka secara langsung kepada pengguna.
Selain penyertaan usahawan, program berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil pelantikan kepada pembekal baharu Lotus’s serta pengiktirafan kepada pembekal PMKS cemerlang atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri peruncitan tempatan.
Mengulas lanjut, Azliza Baizura berkata, kejayaan pembekal tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan, malah membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Lotus’s yang mempunyai rangkaian 71 cawangan di seluruh negara turut membantu pembekal meningkatkan standard produk, kesiapsiagaan operasi dan konsistensi bekalan bagi memenuhi keperluan sektor peruncitan moden,” katanya.
Sementara itu, Rohaizi berkata, kerjasama strategik antara KPDN dan Lotus’s Malaysia berjaya menjana jualan produk PMKS tempatan bernilai RM56.24 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menurutnya, jumlah itu melibatkan jualan produk PMKS Bumiputera sebanyak RM30.69 juta manakala PMKS bukan Bumiputera mencatatkan jualan RM25.55 juta.
“Pencapaian ini amat bermakna kerana ia menunjukkan produk keluaran usahawan tempatan mempunyai permintaan dan potensi pasaran yang nyata apabila diberikan akses kepada saluran peruncitan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, sehingga Jun lalu seramai 119 pembekal PMKS menyertai inisiatif tersebut, terdiri daripada 66 pembekal Bumiputera dan 53 pembekal bukan Bumiputera dengan keseluruhan 1,025 unit penyimpanan stok (SKU) direkodkan.
Menurutnya, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan sepanjang enam bulan pertama tahun ini termasuk penyenaraian produk PMKS, promosi menerusi katalog elektronik, paparan khas produk tempatan di premis peruncitan, aktiviti pensampelan serta program pembangunan kapasiti usahawan.
Rohaizi berkata, kejayaan kerjasama berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai jualan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari sudut pembinaan jenama, peluasan akses pasaran dan kemampuan usahawan tempatan bersaing dalam jangka panjang.
“Kita mahu lebih ramai usahawan yang bermula secara kecil-kecilan dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran dan seterusnya membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

