Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pasaran pertukaran asing memberi tumpuan kepada ketegangan geopolitik susulan serangan AS dan sekutunya ke atas Yemen baru-baru ini. Foto hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pasaran pertukaran asing memberi tumpuan kepada ketegangan geopolitik susulan serangan AS dan sekutunya ke atas Yemen baru-baru ini. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pasaran pertukaran asing memberi tumpuan kepada ketegangan geopolitik susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas Yemen baru-baru ini.

Pada 9.07 pagi, ringgit merosot kepada 4.6470/6570 berbanding dolar AS daripada 4.6455/6500 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, serangan itu telah menyebabkan harga minyak mentah berada pada paras tinggi, dengan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$78.17 setong daripada AS$76.8 setong sebelum serangan pada Khamis lepas.

"Hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun turut merosot sebanyak 10 mata asas kepada 4.14 peratus manakala pasaran derivatif kadar faedah telah meningkatkan harapan mereka untuk penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS pada Mac,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran dilihat berada dalam sentimen menghindari risiko berikutan ketidaktentuan disebabkan oleh konflik di Yaman.

Oleh itu, beliau menjangka ringgit akan kekal rendah pada sekitar RM4.64 hingga RM4.65 setiap dolar AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 5.0903/1013 daripada 5.0924/0973 pada Jumaat dan naik berbanding pound kepada 5.9189/9316 daripada 5.9239/9297 sebelum ini, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2024/2095 daripada 3.2007/2040.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4887/4968 daripada 3.4900/4936 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 298.7/299.6 daripada 298.6/299.1 minggu lepas, susut berbanding baht Thailand kepada 13.2980/3324 daripada 13.2464/2664 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.32/8.34 daripada 8.30/8.32 sebelum ini. - Bernama