Buanglah ego apabila berada di atas jalan raya

Jumlah kenderaan di lebuh raya di seluruh negara meningkat setiap kali cuti musim perayaan di negara ini. Gambar hiasan.
Jumlah kenderaan di lebuh raya di seluruh negara meningkat setiap kali cuti musim perayaan di negara ini. Gambar hiasan.
A
A
A

SEPERTI biasa, jumlah kenderaan di lebuh raya di seluruh negara meningkat setiap kali cuti musim perayaan di negara ini.

Sejak Jumaat lalu, lebuh raya utama sudah sesak apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Ramai yang memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam.

Mungkin kerana menggunakan kenderaan sendiri lebih mudah bergerak apabila tiba di kampung nanti, lebih-lebih bagi yang mempunyai keluarga ramai.

Sebab itu, mereka lebih sanggup memandu mengharungi kesesakan di lebuh raya sama ada untuk ke utara, selatan atau Pantai Timur Semenanjung.

Pada tahun lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama.

Jangkaan jumlah peningkatan trafik itu ialah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1).

Namun yang membimbangkan, statistik mendapati kadar kemalangan jalan raya meningkat setiap kali musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebanyak 1,699 kenderaan terlibat kemalangan dengan 86 kes kematian di seluruh negara menerusi Op Selamat Tahun Baharu Cina pada Februari lalu. Daripada angka ini, tentunya kita gusar dengan risiko keselamatan semasa berada di jalan raya sekiranya tidak berhati-hati.

Kemalangan jalan raya berpunca daripada tiga faktor iaitu sikap pemandu, keadaan kenderaan serta jalan raya. Faktor melebihi had laju, memandu dalam keadaan letih dan ingin cepat sampai ke destinasi menjadi antara faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan pelbagai pihak, namun masih wujud sikap pengguna jalan raya mengambil ringan soal keselamatan ketika memandu.

Masih ramai yang memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar serta bertukar lorong sewenang-wenangnya.

Selain itu, punca kemalangan lain ialah pemanduan secara cuai atau berbahaya, kurang rehat, mengantuk dan keletihan.

Pengabaian aspek keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana kita berkongsi laluan sama dengan kenderaan lain.

Jangan disebabkan kecuaian kita memandu menjadi penyumbang kepada punca kemalangan.

Jangan pula Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan bersama ahli keluarga bertukar menjadi episod duka.

Jangan biarkan keluarga yang gembira menunggu kepulangan bertukar linangan air mata apabila meratapi insan tersayang terkorban.

Untuk itu, kita sebagai pengguna jalan raya perlu mengubah sikap menjadi pemandu yang berhemah dan bertolak ansur di atas jalan raya.

Penting bagi kita untuk mengambil tindakan proaktif dalam memperbaiki sikap dan tingkah laku ketika memandu.

Ingatlah, seminit tidak membawa erti jika ia berakhir dengan tragedi berdarah di jalan raya. Buanglah sikap ego semasa memandu.

Dengan mengamalkan kesabaran, mengawal kelajuan pemanduan dan sentiasa cergas ketika memandu, kita boleh memastikan setiap perjalanan berakhir dengan selamat.

Apa yang penting setiap pemandu wajib mematuhi peraturan jalan raya dan isyarat lalu lintas serta bertimbang rasa terhadap pengguna lain.

Dalam pada itu, jangan lupa untuk memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik. Lakukan pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan seperti memastikan tayar dalam keadaan baik serta tekanan angin sentiasa mencukupi, termasuklah keperluan tayar ganti.

Semoga kita semua selamat sampai ke kampung halaman dengan ceria, sekali gus dapat meraikan lebaran bersama keluarga tercinta.

*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28