Mantai Rayo DUN Pertang: Sanggup beratur panjang dapatkan harga murah

Jalaluddin (kanan) ketika menyantuni pengunjung yang datang dalam program berkenaan.
Jalaluddin (kanan) ketika menyantuni pengunjung yang datang dalam program berkenaan.
A
A
A

JELEBU - Daging pejal RM27 sekilogram, telur sepapan RM5, beras tempatan 10 kilogram RM20, ada juga sayuran dan ikan air tawar sejuk beku percuma.

Itu antara kemeriahan harga yang ditawarkan ketika Program Mantai Rayo Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang dekat sini pada Ahad sekali gus menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkannya biarpun terpaksa beratur panjang.

Ramlah
Ramlah

Suri rumah, Ramlah Kamarudin, 57, melahirkan rasa lega kerana kebanyakan barangan yang dijual pada program itu sangat murah.

"Saya beli daging sekilo, ada campur hati lembu sikit nak buat rendang balik nanti. Kami pun seronoklah belanja macam ini, jimat banyak," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Aminah Cihoi, 47, berkata, dia datang seawal jam 7.30 pagi untuk membeli barang kering dan basah sebagai persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi.

Seorang pembeli melemparkan senyuman apabila selesai membeli telur.
Seorang pembeli melemparkan senyuman apabila selesai membeli telur.

"Saya tidak akan lepaskan peluang kalau ada program jualan seperti ini sebab kat sini sahaja macam-macam boleh beli dengan harga jauh lebih murah, ramai orang serbu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan Negeri Sembilan meneruskan tradisi mantai melalui Program Mantai Rayo Negeri Sembilan dengan menawarkan harga daging pejal segar pada kadar RM36 sekilogram dan dianggarkan 160 ekor lembu disediakan.

Program ini dijalankan secara serentak di lapan kawasan parlimen di negeri ini, melibatkan 20 lokasi terpilih, bermula jam 7 pagi sehingga habis stok.

Daging pejal ditawarkan harga murah RM27 kg.
Daging pejal ditawarkan harga murah RM27 kg.

Selain itu, ia dijalankan bersekali dengan Program Jualan Ladang Nismilan Prihatin di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (DOANS), Jualan Agro Madani di bawah seliaan FAMA Negeri Sembilan dan Jualan Rahmah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu merangkap Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, harga berkenaan hanya ditawarkan di DUN itu sahaja.

Orang ramai tidak lepas peluang beratur membeli telur RM5 sepapan.
Orang ramai tidak lepas peluang beratur membeli telur RM5 sepapan.

"Tetapi saya percaya di DUN lain juga menawarkan harga 'gila-gila' murah sekurang-kurang 30 peratus daripada harga pasaran.

"Ini merupakan orang kata satu pengiktirafan kepada rakyat yang terus menerus mendukung kerajaan negeri perpaduan ini untuk kesejahteraan dan keamanan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!