'Reda isu beras tempatan timbul masalah bawang pula'

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat pada Isnin.
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu beras tempatan semakin reda melalui langkah yang diambil kerajaan bagi mencukupkan bekalan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tuaian padi sedia ada sedang dalam proses pengilangan disusuli proses penanaman semula.

"Isu bekalan masih ada tapi semakin reda. Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri (SSL) negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi.

“Difahamkan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) baru saja tuai padi, proses seterusnya menjemur, mengilang sebelum beras tersedia di dalam pasaran,” katanya dalam lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat pada Isnin.

Dalam pada itu beliau berkata, isu bekalan makanan sentiasa ada seperti 'yaumulkiamah' yang tiada berkesudahan.

"Beras tempatan jadi rebutan disebabkan beras import mahal.

"Reda beras, ayam, telur, timbul masalah bawang pula. Masalah makanan ini yaumulkiamah.. pasti akan ada," katanya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini mendapati kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran negara berpunca pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Ia juga disebabkan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran berlaku kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.