DOF lepas 23.9 juta benih ikan tambah spesies ikan tempatan

Benih ikan asli dilepaskan di perairan sungai di Pahang.
Benih ikan asli dilepaskan di perairan sungai di Pahang.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melepas sebanyak 23.9 juta benih ikan bernilai RM4.1 juta di seluruh negara.

Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh tiga tahun bermula 2021.

Menurutnya, lima spesies utama yang dilepaskan adalah lampam sungai, baung sungai, terbul, puyu dan udang galah.

"Mengikut data DOF, bagi lima spesies utama yang dilepaskan dalam tempoh tiga tahun ini, udang galah adalah paling banyak iaitu 2.9 juta ekor, lampam sungai (1.4 juta ekor), baung sungai (1.2 juta ekor), terbul (153,000 ekor) dan puyu (58,000 ekor).

"Antara benih spesies lain yang turut dilepaskan seperti temoleh, sebarau, tengas dan kelai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, perolehan benih adalah daripada Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) dan juga perolehan swasta.

Benih ikan asli dilepaskan di perairan sungai di Johor.
Benih ikan asli dilepaskan di perairan sungai di Johor.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pecahan jumlah pelepasan benih ikan yang direkodkan pada tahun 2021 ialah 6.7 juta ekor, tahun 2022 (9.1 juta ekor), manakala tahun 2023 sebanyak (8 juta ekor).

Artikel Berkaitan:

Tambah Adnan, sebagai salah satu autoriti dalam Jawatankuasa Teknikal Spesies Asing Berbahaya (IAS) di peringkat kebangsaan telah merangka Pelan Pengurusan Spesies Asing yang merumuskan kaedah pengurusan dan pengawalan di pelbagai peringkat dari kemasukan sehinggalah pengurusan spesies yang sedia ada di dalam negara.

"Dalam Jabatan sendiri, peruntukan disalurkan untuk mengawal IAS melalui pelbagai kaedah.

"Antara usaha DOF yang telah dan sedang dijalankan termasuklah kajian inventori perikanan darat di sungai-sungai, program pelepasan ikan asli bagi tujuan memulihara dan memperkaya semula perairan darat kita dengan spesies asli," ujarnya.

Jelasnya, bagi tempoh 2021 hingga 2023, jabatan telah melaksanakan sebanyak 74 siri kajian inventori di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!