Hassan Karim tak setuju Dr Akmal disiasat, dakwa akta bersifat kuku besi

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Beliau berpendapat, kedua-dua akta tersebut bersifat kuku besi dan zalim kerana sering disebut akta yang 'draconian'.

"Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang zalim dan meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terlalu luas, kabur dan terbuka untuk disalahgunakan.

"Ketua Pemuda UMNO itu sewajarnya disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan. Ini berkait dengan kesalahan kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

"Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh tetapi hak beliau untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stoking yang dikaitkan dengan kalimah ALLAH adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Dr Muhamad Akmal disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH selepas ditahan di Kota Kinabalu.

Terdahulu Dr Muhamad Akmal dua kali disoal siasat polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan yang pertama pada jam 10.40 pagi sehingga 12.40 tengah hari sebelum sekali lagi dipanggil untuk memberi keterangan selama dua jam.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, beliau berpendirian sedemikian kerana pernah melalui pengalaman yang sama seperti Dr Muhamad Akmal sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana saya secara peribadi pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan tersebut, maka sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, maka saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal sudi dan bersetuju menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal.

Tambah beliau, tawaran tersebut sekiranya Dr Muhamad Akmal akan tetap dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 di mahkamah nanti.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28