Jangan cuba jadi 'kaki wayang' - Pemuda UMNO Kedah

Mohd Safwan
Mohd Safwan
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Negeri Kedah mengingatkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden agar tidak cuba menjadi 'kaki wayang' atau mencuci tangan atas usaha orang lain.

Ketua Penerangannya, Mohd Safwan Jaafar berkata, kepimpinan UMNO termasuk Pemuda UMNO seluruh Malaysia menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkenaan kontroversi stoking kalimah ALLAH terbabit.

"Afnan Hamimi menyatakan solidariti bersama Dr Akmal berikutan penahanan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Beliau juga mempersoalkan tentang kepimpinan UMNO yang tidak menjadi benteng kepada Dr Akmal," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dalam isu ini Afnan Hamimi seharusnya perlu melihat kepada kepimpinan parti beliau sendiri yang berdiam diri dan mengunci mulut.

"Parti mana yang tidak mahu bersama menyertai gerakan boikot? Parti mana yang tidak membuat laporan polis apabila isu ini timbul? Parti mana yang memesan kepada masyarakat supaya tidak bertindak "membabi buta" berkenaan isu ini?

"Saya rasa Afnan Hamimi jangan cuba menunggang isu ini untuk mendapatkan publisiti percuma. Pemuda UMNO Negeri Kedah dan seluruh Malaysia amat konsisten menyokong tindakan Dr Akmal dan seluruh kepimpinan UMNO menjadi benteng kepada beliau," katanya.

Pada Jumaat, Afnan Hamimi melalui laman Facebook menzahirkan rasa kecewa dengan penahanan Dr Muhamad Akmal di bawah Akta Hasutan, hanya kerana kelantangan beliau dalam isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Afnan Hamimi turut mempersoalkan mengapa individu lain daripada parti blok kerajaan yang sebelum ini menghina Islam, tidak disiasat dan ditahan bawah akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau turut mempersoalkan di mana suara Presiden UMNO dan menegaskan Pemuda Pas bersolidariti bersama Dr Muhamad Akmal dan menuntut tindakan yang sama adil terhadap semua pihak yang menyentuh isu 3R dan menggugat keharmonian negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!