Prosiding komital: Mahkamah tolak permohonan Lokman Adam

Lokman (tengah) ketika ditemui wartawan bersama Muhammad Shafee (kiri) yang mewakilinya.
Lokman (tengah) ketika ditemui wartawan bersama Muhammad Shafee (kiri) yang mewakilinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bagi mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili anak guamnya, Lokman dan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Antara hujah untuk mengetepikan permohonan oleh Lokman itu adalah notis tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat agak kurang sempurna.

Sequerah berkata, ini kerana entiti itu tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk berbuat demikian dan hanya mahkamah mempunyai kuasa dan bidang kuasa sedemikian untuk mengeluarkan notis itu.

Bagaimanapun Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh pihak lain selain mahkamah.

“Mahkamah juga mendapati kenyataan oleh peguam negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden,” katanya.

Tarikh 13 Mac depan ditetapkan untuk prosiding pendengaran kes hina mahkamah.

Prosiding komital itu dijalankan susulan Lokman didakwa mengugut saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Saksi berkenaan adalah Amhari Efendi Nazaruddin iaitu bekas pegawai khas Najib.

Pada 22 Oktober tahun lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September tahun lalu.

Dalam permohonan itu, peguam negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam Negara berkata, pada tarikh itu responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai khas Najib kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di mahkamah tinggi.

Katanya, beliau juga akan memainkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau menambah pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.