'Dr Akmal akan dibantu penasihat undang-undang UMNO' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi - Foto Bernama
Asyraf Wajdi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO meminta penasihat undang-undang bagi membantu Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Penasihat Undang-Undang dan Peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun akan membantu Dr Akmal.

Tambahnya lagi, beliau juga telah menghubungi Dr Akmal bagi mengetahui perkembangan berhubung kes itu.

"Alhamdulillah beliau berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan tugas," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Dr Akmal disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Dr Akmal berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, kes melibatkan stoking tersebut yang dijual di kedai serbaneka KK Mart disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dr Akmal ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pagi Jumaat setelah tular video penahanannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Artikel Berkaitan:

Kata Asyraf Wajdi lagi, menurut Dr Akmal beliau sepatutnya dijadualkan dipanggil memberikan keterangan di Kuala Lumpur pada Sabtu, namun ditahan setibanya di KKIA.

"Setakat perbualan telefon dengan beliau sebentar tadi, dimaklumkan insya-ALLAH beliau akan dibebaskan selepas segala keterangan selesai diambil oleh pihak polis," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28