Abdur Rahman, Abdullah rindu nasi ayam air tangan ibu

Abdur Rahman (kiri) dan Abdullah membaca doa di pusara ayah, ibu dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.
Abdur Rahman (kiri) dan Abdullah membaca doa di pusara ayah, ibu dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.
A
A
A

MUAR - Menjelang Aidilfitri, kebiasaannya meriah bersama ibu, ayah dan adik beradik membeli baju raya sedondon, namun itu semua tinggal kenangan buat Abdur Rahman Amir Ruddin, 20, dan adiknya Abdullah, 16.

Dua beradik itu kehilangan ibu dan ayah serta empat beradik yang lain dalam nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat Kuantan pada 1 September tahun lalu.

Menurut Abdur Rahman, Ramadan dan Aidilfitri kali ini begitu berbeza kerana pertama kalinya disambut tanpa ibu bapa dan adik beradik di sisi.

Malah, masih segar di ingatannya juadah nasi ayam disediakan ibunya pada pagi Aidilfitri tahun lalu.

"Cukup berbeza mereka semua (ibu, ayah dan adik beradik) sudah tiada. Detik terindah, berbuka puasa dan solat tarawih bersama.

"Tetapi itulah hakikatnya saya dan adik Abdullah perlu hadapi sudah tujuh bulan tanpa mereka. Rindu hendak makan nasi ayam air tangan ibu pada pagi raya," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa, di sini pada petang Jumaat.

Abdullah (kiri) dan Abdur Rahman membersihkan pusara ayah, ibu dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.
Abdullah (kiri) dan Abdur Rahman membersihkan pusara ayah, ibu dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.

Abdur Rahman berkata, setiap kali rindu, mereka akan menziarahi pusara ibu, ayah dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong, manakala Abdullah pula sering bercerita tentang ibunya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bapa saudara, Mohd Hairul Nor Muhammad, 54, dan ibu saudara, Norahila, 39, serta nenek Norliah Md Noh, 77, menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan menjadi tempat mengadu tatkala merasa rindu ibu dan ayah.

"Abdullah selalu bercerita tentang ibu dan ayah kepada ibu saudara Norahila. Kalau rindu kata adik, dia akan selalu baca doa.

"Kami bersyukur kerana nenek dan ahli keluarga sangat menyayangi kami. Saya dan adik merancang untuk pulang beraya ke kampung arwah ayah, di Temerloh, Pahang untuk bertemu saudara di sana," katanya lagi.

Norahila (kanan) menemani Abdur Rahman ( kiri), Abdullah (tengah) membaca doa di pusara ibu, ayah dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.
Norahila (kanan) menemani Abdur Rahman ( kiri), Abdullah (tengah) membaca doa di pusara ibu, ayah dan adik beradik di tanah perkuburan Islam Masjid Jamek Ubuddiah Parit Limbong Muar.

Abdur Rahman merupakan penuntut tahun pertama sarjana muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) Pendidikan Islam di OUM, Batu Pahat dan turut mengajar secara sambilan di Sekolah Rendah Islam At-Tanwiriah, Parit Jawa Muar.

Manakala adiknya, Abdullah merupakan pelajar di Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah, Parit Jawa,

Gambar kenangan keluarga pada Aidilfitri pada tahun lalu.
Gambar kenangan keluarga pada Aidilfitri pada tahun lalu.

Tragedi memilukan pada 1 September tahun lalu, meragut nyawa pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43. Empat lagi anak pasangan itu, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, turut terkorban.

Abdullah terselamat dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan, namun mula menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat dan kini sihat serta boleh bercakap.

Kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghantar Noorahimah yang bertugas di Sekolah Agama Kemedak di Segamat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28