Bubur lambuk 'air tangan' Tunku Azizah buat penghuni Penjara Marang

Tunku Azizah (tengah) bersama Sultanah Nur Zahirah (dua, kiri) dan puteri Terengganu mencemar duli memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada penghuni Penjara Marang.
Tunku Azizah (tengah) bersama Sultanah Nur Zahirah (dua, kiri) dan puteri Terengganu mencemar duli memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada penghuni Penjara Marang.
A
A
A

MARANG - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Penjara Marang bagi menyediakan juadah istimewa bubur lambuk Istana Pahang sebagai hidangan berbuka puasa penghuni di penjara itu.

Dalam acara itu, sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk yang dimasak menggunakan tujuh periuk dapat diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan pada Ahad.

Menurut baginda, resipi asli bubur lambuk Istana Pahang begitu sinonim dengan bulan Ramadan dan menjadi kegemaran ramai setiap kali ia dimasak di luar istana.

"Sebenarnya, sebelum saya jadi Permaisuri saya suka memasak bubur lambuk. Tiap-tiap tahun saya memasak untuk rakyat jelata apatah lagi bubur lambuk memang sinonim dengan kedatangan Ramadan.

"Bermula tahun lepas, saya mula menyediakan bubur lambuk ini di Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Alhamdulillah, hari ini rezeki penghuni di Penjara Marang pula merasai sendiri air tangan dari Istana Pahang," titah baginda.

Tunku Azizah mengagihkan bubur lambuk yang siap dimasak kepada penghuni Penjara Marang.
Tunku Azizah mengagihkan bubur lambuk yang siap dimasak kepada penghuni Penjara Marang.

Kedatangan Tunku Azizah di Penjara Marang diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama dua puteri Terengganu iaitu Tengku Puteri Utama, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah Sultan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Tunku Azizah bertitah, bubur lambuk Istana Pahang begitu istimewa kerana menggunakan pelbagai bahan segar di samping memiliki kandungan protein yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Kongsi baginda, bubur lambuk Terengganu dan Pahang tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding resipi bubur lambuk di negeri lain kerana kedua-duanya mengandungi ikan, pucuk paku, lada hitam dan santan.

"Kali ini kita bawakan khas resipi bubur lambuk Istana Pahang ke Penjara Marang di mana kita menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama di samping bahan lain yang biasa digunakan dalam proses pembuatan bubur lambuk," ujar baginda.

Menurut Tunku Azizah, Penjara Marang begitu dekat di hati baginda kerana produk keluarannya iaitu songket tenunan asli Terengganu terdapat di situ.

"Sebagai Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, usaha mereka dalam memartabatkan seni warisan ini sangat dihargai.

"Penyediaan bubur lambuk Istana Pahang di penjara ini merupakan antara inisiatif untuk menceriakan mereka pada Ramadan kali ini," titah baginda.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!