Sultan Selangor harap orang Melayu ambil jalan perpaduan, kukuh keharmonian

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
A
A
A

PETALING JAYA - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bangga dan terharu melihat perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain dipamerkan orang Melayu di Selangor ketika Ramadan.

Baginda berharap orang Melayu akan terus mengambil jalan perpaduan dan memperkukuh keharmonian demi menunjukkan kekuatan bangsa dan ummah.

"Sekiranya negeri Selangor terdiri daripada rakyat berbilang bangsa dan agama ini ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama terjalin di kalangan rakyat sekarang ini hendaklah dipertahankan dan perlu terus ditingkatkan.

"Jauhkan daripada sikap berprasangka buruk antara satu dengan yang lain dan hendaklah kita sentiasa suburkan sikap toleransi demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negeri Selangor ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Damansara Perdana dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya pada Jumaat.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama ini dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim dari daerah Petaling.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak-anak yatim dari daerah Petaling.

"Pemimpin-pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita," titah baginda.

Baginda turut mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri Selangor dijauhi daripada sifat dan sikap tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan juga mencaci.

"Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media-media sosial.

"Apa yang membimbangkan beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam ini telah mula menular di kalangan segelintir golongan terpelajar.

"Beta dapati akhir-akhir ini ramai mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuwan dan cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah-hujah mengenai isu-isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu 'ada udang di sebalik batu' dalam setiap tindakan dibuat," titah baginda.

Baginda bertitah, golongan terbabit menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam di negara ini berpecah-belah.

"Oleh demikian, beta menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa sebenarnya ulama sejati dan siapa hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu," titah baginda.

Baginda dalam pada itu turut mengajak seluruh umat Islam supaya dapat terus meningkatkan amal ibadah di penghujung Ramadan tahun ini dan dapat menjalani kehidupan berpandukan ajaran al-Quran.

"Insya-ALLAH, kita akan sentiasa dilindungi ALLAH SWT dan dijauhi dari malapetaka dan bencana.

"Beta mendoakan semoga segala amalan dan ibadah yang kita lakukan di sepanjang Ramadan ini akan mampu menambah ketakwaan dan keimanan ke hadrat ALLAH SWT, dalam usaha kita menjadi hamba-Nya yang taat," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!