Orang Melayu perlu bersatu, ambil iktibar perpecahan Arab - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Orang Melayu perlu segera bersatu dan mengambil iktibar kesan perpecahan negara-negara Arab terhadap konflik Palestin-Israel.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun negara-negara Arab mempunyai mempunyai lebih 400 juta penduduk namun masih tidak berupaya bersuara dan menghalang kekejaman rejim zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

“Paling menyedihkan, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel tanpa sebarang cadangan praktikal untuk menghentikan kekejaman ini.

“Malah, hendak mengeluarkan kenyataan mengutuk kekejaman yang amat dahsyat dalam sejarah dunia moden hari ini pun mereka berbalah sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar Ismail Sabri, situasi sama juga berlaku di negara ini di mana menyaksikan orang-orang Melayu dan bumiputera semakin berpecah-belah atas faktor tertentu seperti tiada kesepakatan, perselisihan dan berbeza ideologi.

“Jika dihitung jumlah kerusi Ahli Parlimen Melayu dan bumiputera di Dewan Rakyat melebihi majoriti dua pertiga, 93 di sebelah kerajaan dan 73 kerusi di blok pembangkang.

“Bagaimanapun, komposisi dalam Dewan Rakyat sahaja tidak memberikan sebarang makna kerana orang Melayu dan bumiputera berpecah kepada terlalu banyak parti dan ideologi,” ujarnya.

Sementara itu, ulas beliau, ketika ini sudah ada individu mengambil kesempatan dengan menuntut perkara tidak sepatutnya dan perkara itu telah diterima sebagai sebahagian daripada amalan di negara ini akibat perpecahan orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemimpin-pemimpin Melayu perlu mengambil inisiatif duduk semeja dan berbincang bagi mencari titik persamaan supaya perpecahan itu dapat bertaut kembali.

“Terbaru, DAP semakin biadab mencampuri urusan agama Islam dan Majlis Raja Raja Melayu apabila seorang pemimpinnya menuntut wakil bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah

“Jika orang Melayu tidak segera bersatu, suatu ketika nanti kita menjadi seperti orang Arab yang hanya mampu melihat saudara sebangsa dan seagama disembelih kerana tidak boleh berbuat apa-apa berikutan tiada kuasa,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!