Piala Sultan Selangor 2024 gamit nostalgia Stadium Merdeka

Abd Karim meninjau kerja-kerja membaikpulih Stadium Merdeka di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Abd Karim meninjau kerja-kerja membaikpulih Stadium Merdeka di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

STADIUM Merdeka bakal menggamit nostalgia kegemilangan bola sepak tanah air apabila ia dipilih sebagai venue bagi Piala Sultan Selangor 2024 pada 17 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, stadium ikonik itu dipilih untuk penganjuran kejohanan edisi ke-20 tersebut kerana pihak penganjur mahu memberi peluang kepada peminat merasai semula aura kelahiran beberapa legenda bola sepak negara dan Selangor.

Antaranya, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun.

"Oleh itu, kita kekalkan keadaan Stadium Merdeka seperti asal, (misalnya) tak ada skor digital.

"Kerja membaik pulih sudah 70 peratus selesai dan akan lengkap pada hujung Februari ini untuk menganjurkan Piala Sultan Selangor selepas empat tahun kejohanan itu ditangguhkan kerana Covid-19," katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau kerja-kerja membaik pulih stadium berkenaan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, selain aksi Piala Sultan Selangor di antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, perlawanan melibatkan veteran kedua-dua pasukan turut diadakan di stadium berkenaan.

"Kita juga akan mengadakan pertunjukan bunga api, pertunjukan payung terjun oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa Jalur Gemilang dan Selangor, selain persembahan hiburan turut diselitkan bagi menambah kemeriahan.

"Lebih 20,000 tiket akan dijual bagi perlawanan ini pada harga serendah RM10," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Pilihan Singapura pula menjuarai saingan berkenaan tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Pada 2004, kedua-dua pasukan dinobatkan juara bersama, manakala pada 2015 dan 2020 terpaksa dibatalkan masing-masing berikutan keadaan jerebu dan Covid-19 yang membimbangkan.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila ia mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun, seterusnya menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 diikuti pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Bagi peminat sukan, Stadium Merdeka pastinya tempat yang penuh kenangan dan menjadi kubu kuat skuad kebangsaan dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Pestabola Merdeka. - Bernama