Pengguna diingat peka dengan laluan SmartLane

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Pengguna lebuh raya diingatkan supaya lebih peka dengan pengaktifan laluan SmartLane pada musim perayaan ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ia bagi mengelakkan pengguna terkeliru hingga menyebabkan kemalangan.

"Di Negeri Sembilan terdapat dua laluan SmartlLane yang diaktifkan iaitu Kilometer (KM) 280.0 arah Selatan (Nilai) – KM276.0 arah Selatan (R&R Seremban) dan KM260.0 Arah Utara (Port Dickson) - KM263.1 Arah Utara (Seremban).

"Saya kuatir masyarakat masih terkeliru dengan penggunaan SmartlLane ini.

"Mungkin ada antara mereka merasakan laluan kecemasan itu semata-mata adalah laluan kecemasan sedangkan pada musim perayaan pihak lebuh raya telah membenarkan laluan itu digunakan bagi mengurangkan kesesakan," katanya.

Hanif Yusabra berkata kepada pemberita pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di Seremban pada Jumaat.
Hanif Yusabra berkata kepada pemberita pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di Seremban pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Kempen berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan, J Arul Kumar.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hanif, berdasarkan pemerhatian pihaknya, pengetahuan masyarakat terhadap laluan SmartlLane itu perlu dipertingkatkan.

"Nak tahu SmartlLane ini aktif atau tidak boleh dapatkan maklumat di laman web syarikat konsesi lebuh raya dan makluman pengaktifannya turut diletakkan papan tanda.

"Laluan ini hanya dibenarkan digunakan pada waktu siang saja kerana jika waktu malam, dibimbangi pengguna terkeliru," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 234 cuti pegawai dan anggotanya dibekukan sempena musim perayaan kali ini.

Ujarnya, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan terutama di lokasi panas dan strategi penguatkuasaan tanpa sentuh diberi keutamaan dan cara itu dilihat lebih berkesan.

"Kita aktifkan penguatkuasaan sebegini dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dan tumpuan kepada penggunaan dron dan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) yang dilengkapi Enforcement Action Camera (EAC).

"Kita juga turut melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi memantau pemanduan bas sama ada mengikut peraturan atau sebaliknya yang melibatkan seramai 17 anggota," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28