KPDN giat usaha pantau harga barangan sempena Aidilfitri

Chong Siang (kiri) dan Fuziah (dua dari kiri) melihat cili kering ketika sesi lawatan dan dan sesi walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC Sdn Bhd, Kemunting di sini pada Jumaat.
Chong Siang (kiri) dan Fuziah (dua dari kiri) melihat cili kering ketika sesi lawatan dan dan sesi walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC Sdn Bhd, Kemunting di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, bagi tujuan itu, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa dan hampir 1,000 pegawai pemantauan harga (PPH) digerakkan untuk memastikan peniaga mematuhi skim harga tersebut.

"Kita akan pantau 41 item setiap hari di lebih 1,000 premis di seluruh negara (pada) empat kategori iaitu hypermarket, kedai runcit, pasar basah, pasar awam dan juga di pasar mini.

"Kita (akan membuat) laporan dan data itu dimasukkan ke 'price catcher'. Kalau (semua orang) melihat aplikasi itu (price catcher), ada data yang dimasukkan setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas lawatan dan dan sesi walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC Sdn Bhd, Kemunting di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin dan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang

Mengulas lanjut pelaksanaan SHMMP, Fuziah memberitahu sebanyak 22 item yang dikawal di peringkat pemborong, peruncit di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan mengikut kepada keperluan permintaan tempatan.

Ujarnya, skim ini dibuat bagi mengawal harga disebabkan permintaan tinggi dan pastinya ia akan mengganggu harga sesuatu barangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah melihat semua barang dan berpuas hari dengan semua bekalan, untuk meraikan hari raya, telur ada untuk membuat kuih, ayam juga boleh didapati pada harga yang bagus.

"Kita tidak kawal bawang kecil India dan rose sebab kita tiada bekalan, disebabkan India dan Pakistan mempunyai sedikit masalah eksport. Jadi, kita hanya ada (pasarkan) bawang merah dan bawang kuning China," katanya.

Beliau juga berharap peniaga dapat mematuhi harga ditetapkan, dan meletakkan tanda harga merah jambu seperti yang disarankan.

"Ini kerana, kita mendapat paling banyak aduan tidak letak tanda harga merah jambu pada barangan kawalan," tegasnya.

Ditanya sampai bila harga kawalan akan terus diberikan, Fuziah berkata, dalam pasaran ekonomi terbuka sudah pasti bekalan berpandukan kepada permintaan.

"Bila permintaan tinggi, maka tentu sekali bekalan akan terkesan, takut ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi.

"(Jadi), kita perlu letakkan dia punya kawalan. Kita tak mahu peniaga mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28