Rajagobal ambil keputusan ubah haluan baharu

Rajagopal -Foto PKNS FC
Rajagopal -Foto PKNS FC
A
A
A

BEKAS pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal terpaksa membatalkan hasratnya melatih Chennaiyin FC selepas kelab India itu melantik ketua jurulatih baharu baru-baru ini.

Menurut Rajagobal, beliau pada awalnya mahu mencuba nasib dalam saingan Liga Super India (ISL) selepas hampir 20 tahun menabur bakti dengan beberapa pasukan tempatan selain skuad kebangsaan.

“Sejujurnya, saya memang berminat membimbing kelab di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara. Antara yang menarik minat saya adalah kelab ISL iaitu Chennayyin FC.

“Saya sepatutnya pergi ke India untuk melihat situasi di sana. Malah, pegawai-pegawai kelab itu juga mengetahui kedatangan saya. Namun, setelah jurulatih Chennayyin FC (John Gregory ) meletakkan jawatan, pihak pengurusan kelab itu telah melantik jurulatlih baharu, Owen Coyle.

“Situasi itu menyebabkan saya terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana. Mungkin tiada rezeki saya melatih kelab itu,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Bagaimanapun, Rajagobal berkata, beliau tetap berhasrat untuk mencuba nasib sebagai jurulatih dengan pasukan berstatus kelab atau mana-mana skuad kebangsaan.

“Saya rasakan mungkin saya patut cuba nasib di luar negara khususnya di rantau Asia Tenggara. Namun, ia akan dibuat dengan teliti agar tidak menganggu persiapan mana-mana pasukan yang sudahpun memiliki jurulatih,” jelasnya.

Sebagai rekod, Rajagobal memulakan karier kejurulatihan bersama PKNS FC pada 1990 hingga 1998 diikuti Selangor (1999-2000); Kelantan (2001-2002); Sarawak (2015-2016) sebelum kembali mengemudi PKNS FC (2017-2019).

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh itu juga, Rajagobal pernah membimbing skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara dari 2004 hingga 2006; Harimau Muda A (2007-2009), skuad B-23 negara (2009-2011) dan skuad senior Harimau Malaya (2009-2013).