KEDA agih dividen untuk Projek Ladang Sejahtera

Ismasuhaimi (tengah) berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dividen KEDA, di sini, pada malam Rabu.
Ismasuhaimi (tengah) berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dividen KEDA, di sini, pada malam Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengagihkan dividen sebanyak RM22,500 kepada 50 penduduk miskin tegar di daerah Sik melalui Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, 50 peserta terbabit menerima agihan dividen sebanyak RM450 setiap seorang.

Beliau berkata, dividen diagihkan itu adalah hasil diperolehi daripada projek tanaman ladang getah seluas 100 hektar yang menggunakan peruntukan Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMLB).

"Sebanyak 40,000 pokok getah pelbagai jenis klon telah ditanam dan pokok-pokok ini telah mencapai umur sembilan tahun dan hasil getah skrapnya telah mula dikutip pada 6 Jun 2017.

"Menerusi projek ini, sebanyak 40 peluang pekerjaan telah disediakan kepada penduduk setempat melalui kerja-kerja penorehan dan penyelenggaraan ladang," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dividen KEDA, di sini, pada malam Rabu.

Jelas beliau,hasil diperolehi daripada ladang kemudiannya dimasukkan ke dalam satu tabung dan diserahkan kepada penduduk di kawasan penempatan di sekitar ladang berkenaan.

Ismasuhaimi berkata, pihaknya berharap agihan dividen itu dapat membantu meringankan bebanan mereka sempena menyambut Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini, jumlah keseluruhan dividen disalurkan dari 2018 hingga tahun ini kepada peserta adalah sebanyak RM122,500.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KEDA telah membelanjakan lebih RM5 juta dalam aspek pemberian bantuan projek ekonomi kepada golongan sasar melibatkan 482 penerima bantuan di Kedah pada 2023.

Katanya lagi, sebanyak 11 projek telah dilaksanakan antaranya Projek Pertanian Petani Luar Bandar dan Projek Pembangunan Sawah di Kawasan Wilayah KEDA.

Ujar beliau, KEDA menerima peruntukan bantuan ekonomi sebanyak lebih RM12 juta yang melibatkan anggaran penerima bantuan seramai 651 orang pada tahun ini.

"Sehingga Jan hingga Mac lepas, lebih RM2.5 juta telah dibelanjakan bagi membantu 124 peserta dan 18 institusi dan antara jenis bantuan yang diberikan adalah input pertanian, bantuan peralatan dan bantuan latihan serta kursus," katanya.

Beliau berkata, semua bantuan daripada KEDA diharapkan membantu memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar yang rata-rata peserta terdiri golongan miskin tegar.

Sementara itu, Ismasuhaimi menambah, Kolej KEDA dibawah KEDA membuat pengambilan baharu pada Julai 2024,sekaligus mempelawa pelajar untuk membuat permohonan.