Penjawat awam Kedah dapat bonus raya RM1,500

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengumumkan bonus raya sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan tambahan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri itu akan dibayar pada 8 April ini.

Menurutnya, bayaran pertama sebanyak RM1,000 telah dibayar pada 26 Mac lalu, menjadikan keseluruhan bantuan sebanyak RM1,500.

“Dalam Belanjawan 2024 kerajaan negeri telah luluskan bantuan khas kewangan kepada kaki tangan kerajaan sebanyak RM2,000, bayaran pertama pada Disember dan bayaran kedua sempena Aidilfitri dibayar pada 26 Mac,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Sanusi berkata, bantuan tambahan RM500 tersebut diputuskan dalam mesyuarat Exco pada Rabu, melibatkan implikasi kewangan negeri sebanyak RM2.610 juta.

“Hari ini (Rabu) kita buat keputusan beri lagi RM500 bantuan khas Aidilfitri kepada 5,221 kaki tangan awam negeri Kedah,” jelasnya.

Beliau berkata, sumbangan persiapan Aidilfitri turut disalurkan kepada pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) seramai 2,335 orang.

“Setiap penerima beroleh RM200, ia melibatkan implikasi kewangan negeri sebanyak RM467,000 dan akan dibayar pada 8 April menerusi akaun masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sanusi menjemput semua rakyat Kedah untuk memeriahkan Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah yang akan diadakan pada 18 April ini.

“Jemput hadir rumah terbuka di kediaman rasmi Seri Mentaloon bermula 11 pagi hingga 4 petang, ratusan juadah disediakan dan paling istimewa 15 ekor kambing golek untuk tetamu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Kedah termasuk Malaysia atau di mana sahaja anda berada,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri kali ini, ditampilkan persembahan istimewa daripada Datuk Jamal Abdillah serta beberapa kumpulan nasyid.

“Berdasarkan sambutan luar jangka tahun lepas, kita cadang untuk tambah makanan termasuk keluasan tempat untuk keselesaan tetamu, saya jemput semua yang berada di Kedah ketika itu untuk sama-sama meriahkan rumah terbuka ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Penjawat awam Kedah dapat bonus Raya RM1,500 #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Utara #Kedah #MB #Sanusi #Bonus #Bantuan #Aidilfitri #Raya

Suasana Hari Raya - JESBON_76