Meraih lailatulqadar: Jauhi telefon pada malam-malam akhir Ramadan

JAUHI telefon pada malam-malam akhir Ramadan supaya lebih fokus melakukan ibadah bagi mendapatkan lailatulqadar. Gambar Hiasan/Foto Pexels
JAUHI telefon pada malam-malam akhir Ramadan supaya lebih fokus melakukan ibadah bagi mendapatkan lailatulqadar. Gambar Hiasan/Foto Pexels
A
A
A

UMAT Islam dinasihatkan agar menjauhi telefon pintar pada malam-malam akhir Ramadan dalam usaha untuk mendapatkan lailatulqadar.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Ustaz Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, ini kerana banyak gangguan daripada gajet tersebut yang boleh menyebabkan hilang fokus untuk beribadah.

PU HAFIZ (kanan) dalam program Sembang Ramadan Tanya Je Ustaz! yang dihoskan oleh Amin Idris.
PU HAFIZ (kanan) dalam program Sembang Ramadan Tanya Je Ustaz! yang dihoskan oleh Amin Idris.

“Pertama, jangan pegang telefon, ‘syaitan’ (gangguan) banyak dalam tu.

“Walaupun kita baca al-Quran dalam telefon, tapi apabila keluar ‘notification’ daripada TikTok, kita akan buka TikTok.

“Jadi, telefon kena kawal sebab kalau tidak kawal, kita terbabas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sembang Ramadan Tanya Je Ustaz! yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau yang lebih dikenali dengan gelaran PU Hafiz, perkara kedua yang perlu dilakukan oleh golongan yang sibuk atau frontliner ialah berniat untuk melakukan ibadah pada malam-malam akhir Ramadan.

BAGI frontliner atau golongan yang sibuk bekerja, mereka boleh memperbanyakkan zikir dan berdoa pada malam-malam akhir Ramadan. Gambar Hiasan/Foto Pexels
BAGI frontliner atau golongan yang sibuk bekerja, mereka boleh memperbanyakkan zikir dan berdoa pada malam-malam akhir Ramadan. Gambar Hiasan/Foto Pexels

“Mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, apabila sudah berniat beribadah dan melakukannya, ALLAH akan gandakan pahala sebanyak 10 kali ganda.

“Jika kita sudah berniat tapi terhalang (melakukan ibadah), kita sudah mendapat pahala. Jadi, sempena akhir Ramadan, berniatlah untuk beribadah. Kalau boleh ambil cuti untuk melakukan ibadah,” jelasnya.

Selain itu katanya, golongan ini juga boleh berzikir seperti tasbih, tahmid dan sebagainya sambil melakukan kerja.

“Kalau dapat ‘lari’ sekejap, boleh solat dua rakaat. ALLAH menjadikan bumi ini sebagai tempat sujud, di mana-mana pun boleh solat asalkan bersih.

“Bawa sejadah jika perlu. Jadi, tiada alasan (untuk melakukan ibadah),” katanya.