Rumah terbakar, persiapan raya hangus

Bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Besut pada Selasa.
Bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Besut pada Selasa.
A
A
A

BESUT - Seorang pesara tidak menyangka rumah yang didiami bersama isterinya sejak lapan tahun lalu hangus dijilat api sebaik pulang dari bazar Ramadan pada petang Selasa.

Mohamad Nadri Haris, 56, berkata, kejadian yang berlaku dalam tempoh singkat itu disedari kira-kira jam 5.15 petang.

"Saya keluar rumah sekitar jam 11 pagi. Sebelum pulang saya singgah bazar Ramadan di Kampung Kerandang untuk beli juadah berbuka puasa.

"Bila sampai ke rumah dalam jam 5 petang itu saya nampak api sedang marak. Saya waktu itu memang terkejut dan bergegas menyelamatkan motosikal dan kereta di depan rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pak Wong di Jerteh di sini petang Selasa.

Mohamad Nadri bersyukur kejadian itu tidak melibatkan nyawa.
Mohamad Nadri bersyukur kejadian itu tidak melibatkan nyawa.

Menurut Mohamad Nadri, ketika kejadian tiada orang di rumah kerana isterinya, Zubidah Mamat, 50, masih berada di tempat kerja di Binjai Rendah, Marang.

Dalam pada itu, Mohamad Nadri tidak dapat menyembunyikan kesedihan kerana semua persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah musnah terbakar.

"Semua persiapan raya yang sudah dibuat sebelum ini macam biskut dan pakaian tak dapat diselamatkan. Semuanya hangus terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Memang agak sedih sebab ia musnah sekelip mata, tetapi saya juga bersyukur kerana tiada yang terkorban," katanya.

Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran.
Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 5.42 petang.

"Seramai 14 anggota termasuk pegawai dari BBP Jerteh dan BBP Besut dikerahkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal dan memadamkan api sepenuhnya. Setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28