PRN Sabah: UMNO Sabah perlu muka baharu, penuhi kriteria

Bung Moktar ketika menyampaikan sumbangan pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika menyampaikan sumbangan pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah memerlukan muka baharu untuk ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, muka baharu yang ditampilkan itu perlu mempunyai kriteria yang ditetapkan oleh parti.

"Memang ada muka baharu, tapi saya belum boleh dedahkan ketika ini sebab kita masih menapis dan meminta mereka turun padang untuk berjumpa seberapa banyak pengundi supaya pengundi tahu siapa calon kita.

"Kriteria saya telah tetapkan iaitu pertama orang disukai oleh rakyat, boleh menang dan berintegriti, tidak melompat dan tidak terpengaruh dengan materialistik," katanya ketika ditanya pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sini pada Selasa.

Ditanya berapa peratus muka baharu yang akan ditampilkan kali ini, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, ia akan dipertimbangkan sebaik mungkin oleh parti.

"Sebab hakikatnya bahawa politik ini memerlukan proses yang panjang, jadi kita mesti ada calon-calon muka baharu yang kita tampilkan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

"Tetapi memang kena ada anak muda dan campur lah," katanya.

Ditanya jika beliau bersedia untuk memberi ruang kepada muka baharu bagi kawasan Lamag, Bung Moktar bersedia jika ada jaminan UMNO akan semakin kukuh.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada jaminan bahawa UMNO akan kuat, kalau bukan saya, saya lepas. Tapi sebagai ketua panglima, saya tidak boleh 'panglima gostan' (undur ke belakang)," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28