Provokasi melampau Israel ke atas Iran

Pihak berkuasa meninjau lokasi bedilan misil yang menyasarkan bangunan tambahan di Kedutaan Iran di Damsyik pada Isnin. Foto AFP
Pihak berkuasa meninjau lokasi bedilan misil yang menyasarkan bangunan tambahan di Kedutaan Iran di Damsyik pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Serangan ganas Israel semakin menggila selepas ia menyasarkan bangunan tambahan di Konsulat Iran di ibu kota Syria pada Isnin.

Namun, Teheran berikrar akan bertindak balas terhadap provokasi melampau rejim Zionis itu yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan selepas perang Gaza kini memasuki bulan keenam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (SOHR) memaklumkan, serangan jet pejuang F-35 itu meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa termasuk tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

“Antara mangsa ialah dua warga Syria dan seorang rakyat Lubnan. Tiada orang awam terlibat,” kata Ketua SOHR di Syria, Rami Abdel Rahman.

Ketika ini, pasukan penyelamat turut melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan tambahan tersebut.

Kementerian Pertahanan Syria memberitahu, bedilan enam misil itu telah memusnahkan seluruh bangunan.

Difahamkan, struktur yang menjadi sasaran itu terletak bersebelahan dengan Kedutaan Iran di mana bahagian hadapannya dihiasi potret gergasi Ketua Pasukan elit Quds, Leftenan Jeneral, Qassem Soleimani yang terkorban akibat serangan dron AS di Iraq pada Januari 2020. - AFP


INFO

Artikel Berkaitan:

> Ia merupakan serangan ganas kelima dalam tempoh seminggu dilancarkan Israel ke atas Syria.

> Serangan di Damsyik itu berlaku tiga hari selepas seramai 53 orang termasuk 38 askar dan tujuh pejuang Hizbullah dilaporkan terkorban akibat bedilan rejim Zionis di Syria.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28