Pramusim sempurna buat KL City FC keutamaan saya - Fahmi

Fahmi (dua dari kiri) bersama pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan yang baharu menyertai pasukan itu pada hari pertama sesi latihan skuad The City Boys di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. - Foto: Bernama
Fahmi (dua dari kiri) bersama pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan yang baharu menyertai pasukan itu pada hari pertama sesi latihan skuad The City Boys di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. - Foto: Bernama
A
A
A

PENAUNG Kuala Lumpur (KL) City FC Fahmi Fadzil memberi keutamaan untuk membantu skuad The City Boys mengharungi pramusim dengan sempurna menjelang saingan Liga Malaysia 2024/2025 yang dijadual bermula bulan depan.

Fahmi berkata, beliau mahu membantu memastikan semua keperluan KL City dapat diuruskan dengan baik supaya juara Piala Malaysia 2021 itu cukup bersedia untuk memulakan musim baharu nanti.

Menteri Komunikasi itu berkata baru-baru ini beliau ada bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh bagi membincangkan perjanjian komersial antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan KL City.

"Saya nak pastikan isu seperti gaji, tahap kesiapsiagaan stadium ini (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur), jadi kita banyak fokus kepada beberapa perkara asas,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah beliau bersedia untuk memimpin Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) susulan bekas presidennya Khalid Abdul Samad meletakkan jawatan bulan lalu.

Pada masa sama, beliau sedia mempertimbangkan untuk menerajui KLFA pada masa depan demi memastikan persatuan itu dapat dikemudi dengan baik, selain membantu ahli gabungan dan pasukan yang bernaung di bawahnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kehadiran pemain tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan yang baru menyertai KL City dapat menyuntik elemen positif dalam pasukan.

"Saya percaya dia (kehadiran Brendan) akan menambah dan membakar lagi semangat rakan-rakan dalam pasukan dalam persediaan menjelang bermulanya musim pada Mei,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Brendan menyertai KL City selepas bersama dengan Selangor FC selama tiga tahun dari 2020 sehingga musim lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!