Budak 9 tahun pandu kereta ke sekolah, rempuh kenderaan pihak berkuasa

Kedua-dua kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. - Foto: Agensi
Kedua-dua kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. - Foto: Agensi
A
A
A

SACRAMENTO - Kejadian ini seperti 'babak dalam filem'.

Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Amerika Syarikat (AS) bertindak 'berani mati' apabila nekad memandu kereta ibunya ke sekolah ketika insiden pada minggu lalu.

Sikap tidak sabar budak lelaki itu yang tergesa-gesa mahu ke sekolah akhirnya membawa padah apabila anggota Peronda Lebuh Raya California (CHP) melihat kereta sedan Volkswagen yang dipandunya berhenti di tengah-tengah persimpangan.

"Apabila kami mengarahkan ia beredar dari situ, ia memecut secara tiba-tiba dan berlakulah adegan kejar mengejar singkat yang berakhir di lot parkir di bahagian timur Plumas Avenue Elementary School.

"Ia kemudiannya merempuh kenderaan peronda kami ketika cuba berundur. Mujur tiada siapa yang cedera dan hanya kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan kecil," jelas CHP menerusi catatan di Facebook.

Tetapi, anggota pihak berkuasa berkenaan terkejut apabila mendapati pemandu tersebut adalah kanak-kanak yang mahu memandu sendiri ke sekolah tanpa pengetahuan keluarganya.

Menurutnya, budak itu selamat dihantar ke sekolah dan kejadian tersebut turut direkodkan.

"Saya melihat 'kepala kecil' di dalam kereta itu selepas kenderaan kami dirempuh dan ia bukan sosok fizikal yang biasa," kata anggota yang menyaksikan insiden itu, Terry Dunn.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, nenek kanak-kanak itu pada mulanya menyangka cucunya telah diculik dan dia sendiri seakan tidak percaya dengan 'kebolehan memandu' budak berkenaan.

"Kami telah memberi peringatan kepadanya dan dia telah berulang kali memohon maaf atas perbuatannya," lapor CBS13 memetik kenyataannya. - Agensi