Pemandu kereta rempuh kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEMPORNA - Pemandu yang merempuh seorang kanak-kanak lelaki sehingga maut di daerah ini dalam kejadian Selasa lalu, telahpun diambil keterangan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, lelaki berusia 50-an itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Fauzi Abd Kadir mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan kanak-kanak yang dilanggar di Kilometer 25 Jalan Pesisir Pantai di Kampung Tagasan Laut di sini.

"Dalam kejadian itu, pemandu bersama penumpang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan pulang dari Tawau menuju ke Semporna.

"Sebaik tiba di lokasi, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah melintas jalan dan berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan mangsa maut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Tambah beliau, susulan kejadian itu mangsa telah dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya.

"Pemandu dalam kejadian ini sudah diambil keterangan di balai polis trafik pada hari yang sama dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Bagaimanapun, orang ramai yang mempunyai maklumat turut diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020 atau di boleh polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fauzi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000 jika disabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!