‘Dr Akmal perlu bertanggungjawab’ - AMK

Nabil (kiri), Dr Muhamad Akmal
Nabil (kiri), Dr Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh perlu bertanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan selepas gesaan beliau untuk memboikot perniagaan kedai serbaneka KK Super Mart.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, pemimpin muda perlu radikal dalam menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukan menjadi punca perpecahan kaum.

Menurutnya, Islam tidak mengajar umatnya bertindak melampaui batas sehingga membawa kepada kebinasaan.

“Beliau seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini.

“Kami tegaskan bahawa pemimpin politik perlu meredakan ketegangan kaum masyarakat majmuk di negara ini dan bukan bertindak sebaliknya.

“Agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan. Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal begitu lantang dalam menyuarakan isu berkaitan penjualan stoking kalimah ALLAH di kedai serbaneka KK Super Mart dan telah menggerakkan kempen memboikot perniagaan tersebut.

Susulan itu, salah satu rangkaian kedai tersebut yang baru beroperasi dua minggu di Kuantan telah dilempar dengan 'molotov cocktail'.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Mac lalu, KK Super Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak turut diserang dengan bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan.

Mengulas lanjut, Nabil berkata, masyarakat perlu bertenang dan memberi ruang serta kepercayaan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas bagi menyelesaikan kes itu.

“Kami mengambil serius akan rentetan siri-siri kebakaran cawangan KK Super Mart akibat unsur sabotaj daripada pihak tertentu.

“Kita perlu mengekalkan keamanan dan kerukunan hidup yang sejak sekian lama menjadi asas serta kekuatan negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!