Henti sebar kebencian, provokasi agama di media sosial

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

PENGGUNAAN media sosial tanpa sebarang kawalan menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menyebarkan kebencian antara kaum di negara ini.

Terdapat juga hantaran menjelikkan dibuat oleh orang ramai sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Walaupun sebelum ini kerajaan telah menggesa supaya menghentikan perbuatan menyebar fitnah dan provokasi agama di media sosial, namun terdapat sebahagian masyarakat yang masih lagi berdegil.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain memberi amaran bahawa pihak polis akan memantau platform akaun media sosial yang sengaja memainkan sentimen agama dan kaum.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak memperbesarkan lagi isu stoking tertera kalimah ALLAH kerana ia boleh mendatangkan kegusaran dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memaklumkan, ucapan berbaur kebencian di media sosial menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 27,115 kandungan telah diturunkan pada dua bulan pertama tahun ini.

Kemudahan dalam mengakses bahan di internet menyebabkan penulisan dan video ulasan sesetengah netizen mampu mengundang kemarahan, malah yang lebih buruk sumber diperoleh juga tidak benar.

Jika perkara tersebut terus menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat, ia akan menimbulkan ketegangan antara kaum sehingga hilang rasa hormat antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Konsep ‘tidak pasti jangan kongsi’ merupakan inisiatif yang baik, namun sikap tidak peduli orang ramai dalam berkongsi hantaran di media sosial kadangkala memburukkan keadaan sedia ada.

Kandungan media sosial di negara ini semakin menakutkan apabila maklumat yang dikongsi adalah pandangan peribadi dan disulami dengan kemarahan sehingga menimbulkan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat.

Semua pihak ingin menegakkan pendapat masing-masing sehingga kadangkala terlupa mereka telah mencetuskan api kemarahan dan mengakibatkan pergaduhan.

Susulan itu, kata-kata cacian dan ejekan menjadi perkara biasa sehingga mampu menimbulkan persepsi buruk.

Walaupun kemudahan teknologi komunikasi itu baik, namun jika tidak dikawal ia mampu mengundang kemudaratan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28