Malaysia mampu cetus usaha global ajak kembali kepada al-Quran

Program World #QuranHour mendapat penglibatan lebih daripada 70 buah negara.
Program World #QuranHour mendapat penglibatan lebih daripada 70 buah negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mampu menjadi pencetus di peringkat global dalam usaha untuk mengajak seluruh umat Islam kembali kepada al-Quran apabila program World #QuranHour mendapat penglibatan lebih daripada 70 buah negara.

Qari MyQurantime, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, jumlah itu bukan satu angka yang kecil malah Indonesia juga mula mengadakan 'Quran hour' di negaranya.

Katanya, penglibatan daripada pelbagai negara membuktikan Malaysia dapat dijadikan contoh kepada negara luar dalam memartabatkan amalan membaca al-Quran.

"Lebih 70 buah negara akan turut serta menjayakan program World #QuranHour dan alhamdulillah setiap tahun semakin meningkat sambutan yang diterima oleh kami.

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi

"Semua umat Islam mula sedar manfaat membaca al-Quran terutamanya dilakukan pada bulan puasa. Ramadan merupakan penghulu segala bulan dan turunnya al-Quran, berganda pahala yang akan diperolehi, itu adalah janji ALLAH," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian.

World #QuranHour yang memasuki tahun kesembilan penganjuran tahun ini akan diadakan di Masjid Negara pada 4 April ini dengan mengangkat tema "Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial".

Dijadual bermula pada 12 hingga 1 tengah hari, program World #QuranHour yang pertama kali diadakan di Masjid Negara sebagai lokasi perdana bakal menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada Surah al-Jumu'ah yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan QuranHour.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengajak semua pencinta al-Quran di seluruh negara untuk mengimarahkan program World #QuranHour seperti tahun sebelumnya.

"Saya menyeru kepada semua sahabat saya untuk menyertai World #QuranHour supaya ayat al-Quran berkumandang di pelosok dunia.

"Apatah lagi sekarang sudah masuk sepuluh malam terakhir, perjuangan kita belum selesai sepatutnya pada masa ini lah kita perlu meningkatkan ibadat bukannya semakin berkurangan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28