Pahang salur bonus raya RM1,000 kepada penjawat awam

Wan Rosdy (empat dari kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Stadium Titiwangsa pada Ahad
Wan Rosdy (empat dari kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Stadium Titiwangsa pada Ahad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada 8,000 penjawat awam negeri tersebut.

Menteri Besar negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tersebut merupakan inisiatif bonus yang diberikan kepada kakitangan kerajaan sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Hari ini juga saya telah mengumumkan bonus kepada penjawat awam negeri Pahang di mana kerajaan negeri setuju untuk memberi bonus sebanyak RM1,000.

"Bantuan itu sudah pastinya akan diberikan sebelum hari raya sebab ia bonus raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Baucar Jom Balik Raya Anjuran Sekretariat Perantau Anak Pahang di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

Dalam pada itu, ujar Wan Rosdy, seramai 1,000 orang penerima telah pun dipilih untuk menerima baucar sempena majlis tersebut pada Ahad.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri bercadang menambahkan pemberian baucar berkenaan kepada 4,000 lagi penerima, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,000 penerima.

Ulasnya, ia susulan penganjuran majlis tersebut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Pihak urus setia akan menguruskan (pemberian baucar tersebut). Kita akan pastikan (ia diberi) sebelum hari raya.

"Kita mungkin akan panggil ke pejabat ataupun melihat kepada pendaftaran yang ada kita akan menghubungi mereka, ada mekanismenya.

"Saya sangat yakin ia akan sampai ke tangan mereka sebelum hari raya, insya-ALLAH," ujarnya.