FAM nafi segala dakwaan 'surat layang' burukkan kepimpinan, pengurusan

Rosmadi mempertahankan kepimpinan dan pengurusan FAM yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu 'surat layang' pada Ahad.
Rosmadi mempertahankan kepimpinan dan pengurusan FAM yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu 'surat layang' pada Ahad.
A
A
A

NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail mempertahan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu 'surat layang' pada Ahad.

Rosmadi yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM ketika dihubungi berkata, beliau sudah membaca keseluruhan dakwaan yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu dan mendapati ia tidak benar sama sekali.

Malah, beliau menyifatkan kesemua dakwaan antaranya FAM tidak telus dalam proses pemberian tender melibatkan projek Pusat Latihan Kebangsaan sebagai sesuatu yang sangat berat dan mampu mencemarkan imej badan induk itu selain membantutkan perkembangan bola sepak di Malaysia.

“Bagi saya tuduhan-tuduhan itu tidak benar kerana setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil kita buat dalam mesyuarat Exco di mana mesti ada satu keputusan yang konsensus antara kita barulah setiap keputusan itu dilaksanakan.

"Berkenaan tender pula, saya rasa tuduhan itu tak betul kerana kita buat tender terbuka, kita jemput semua pihak dan akan menilai antaranya dari segi keupayaan syarikat. Setiap keputusan dan cadangan daripada pengurusan ataupun perunding yang dilantik mesti kena dapatkan kelulusan Exco,” katanya.

Rosmadi turut mengesahkan tiada keputusan yang dibuat secara bersendirian di FAM dan beliau secara peribadi berpuas hati dengan sistem serta cara kerja badan induk itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua dakwaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati, dendam dan dengki.

“Saya yakin semua Exco termasuk saya amat yakin dengan sistem yang dilaksanakan dan berada di belakang Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta seluruh jawatankuasa yang dinyatakan dalam dakwaan yang dibuat itu,.” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu melibatkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Kesemua dakwaan sekali gus menambah tekanan dan kehangatan menjelang Kongres Tahunan ke-60 FAM yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!